Ahad, 9 September 2012

Pengertian Ulama


Biar saya tinggal seorang diri, diburu ,diketawakan atau diapakan saja ,namun saya kira diri ini terlalu murah dpd dibiarkan maruah agama dan ulama terus dilenyapkan dari mukabumi


PERJALANAN perjuangan Islam yang kian mendaki ini, telah membuatkan saya sekali lagi terasa hairan, terkejut, tertanya-tanya dan mencari-cari jawapan tentang pengertian ulama yang sebenarnya menurut pandangan Islam.Walhal sebelum ini saya seperti orang lain juga, yang memandang sesiapa saja yang agak tinggi ilmu Islamnya,itulah ulama.

Tetapi apabila melihatkan ragam, kerenah, mainan dan silat-silat ulama yang berbagai-bagai dan berbeza-beza di tengah masyarakat dunia, yang sempat saya lihat di sepanjang kembara saya selama ini di lebih ¾ bahagian dunia, perasaan ingin tahu amat mendalam sekali Bagaimana peranan ulama itu sepatutnya, dan siapa sebenarnya yang dikatakan ulama itu ?

Dari situ mulalah saya merenung,memerhati dan mengkaji, hingga dengan izin ALLAH bertemulah saya dengan satu jawapan.Maka jawapan itulah yang saya perpanjangkan di dalam buku ini.Dengan harapan ianya turut menjadi  pemikiran siapa yang meminatinya atau untuk dinilai oleh para ilmuan Islam seluruhnya.Mana tahu kalau-kalau boleh jua buku kecil ini menambah lagi satu khazanah perbendaharaan Islam yang sedia ada.

Barangkali saya perlu meminta maaf kepada seluruh ulama kerana mengeluarkan buku ini.Siapalah saya untuk memperkatakan tentang ulama sedangkan hanya jauhari yang mengenal manikam.Ertinya saya bukan seorang ulama.Lalu kiranya ada salah silap dalam sesetengah ha1 yang sesungguhnya bukanlah saya sengajakan, yang mungkin menyinggung perasaan tuan-tuan secara langsung atau tidak, awal-awal lagi saya pohon maaf.

InsyaAllah saya bersedia untuk dibaiki, kiranya saudara sudi membaikinya secara terhormat.Sebenarnya ada beberapa sebab mengapa saya rasa perlu buku ini dikeluarkan.

Pertama:
Umat Islam dewasa ini perlu sekali tahu dan kenal ulama supaya mereka mencintai dan mendapat didikan serta pimpinan yang wajib mereka perolehi dalam hidup di dunia ini.Di zaman tidak ada nabi dan rasul ini, hanya ulama yang boleh mendidik umat dengan iman dan Islam.Yakni ulama pewaris nabi, yang dengan didikannya, umat akan bertemu jalan hidup sebenarnya yang ditunjuk oleh ALLAH dalam Al Quran dan Hadis. Satu-satunya jalan yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.

Umat yang tidak kenal dan tidak cinta dengan ulama pasti tidak akan bertemu iman dan Islam yang sebenarnya.Dan inilah realiti yang sedang berlaku sekarang. Secara umum mereka tidak faham lagi tentang agama anutan mereka. Bahkan tidak faham tujuan dan arah  hidup yang sedang mereka tempuh ini.Tegasnya, mereka tidak tahu cara-cara menjalani hidup yang tepat, yang hanya ada diajarkan oleh Islam. Maka hiduplah mereka dalam kegelapan. Bagaikan orang yang berjalan di tengah malam yang gelap pekat. Tidak Nampak apa-apa sama ada yang baik atau yang buruk.Cuma mengagak-agak, mengandai-andai dan meraba-raba mencari keselamatan.

Mungkin di jalan ada najis, ada ular, ada gaung, ada gunung dan lain-lain lagi. Maka terlanggar-langgarlah mereka akan bahaya itu tanpa tahu cara mengelakkannya hingga perjalanan itu berakhir dengan begitu malang sekali.

Demikianlah umat Islam kini,hidup tanpa tahu mana yang wajib, mana yang sunat, makruh dan haram.Atau kalaupun tahu tetapi tidak pula mampu mengamalkannya. Maka hiduplah mereka dengan melakukan ha1yang sepatutnya ditinggalkan atau meninggalkan perkara yang sepatutnya dilakukan. Musuh dikira kawan, kawan dianggap musuh.Yang haq dikata batil, yang batil dikata haq.Alangkah buruknya kehidupan mereka dan malanglah sekali nasib mereka.

Kedua:
Nasib malang itu akan menjadi lebih malang lagi bagi setengah umat Islam yang menganggap kehidupan yang demikian itu kerana mencontohi hidup ulama.
 “Ulama pun buat macam tu,” kata mereka.

Ulama semuanya dianggap benar belaka.Sikap dan cakap ulama tidak boleh dipertikaikan lagi.Terima saja bulat-bulat.Apalagi kalau ianya datang daripada ulama-ulama rasmi berjawatan tinggi seperti Menteri Agama, Mufti, Kadhi Besar, Tuk Kadhi, Ketua Dakwah, Pengarah Jabatan Islam, pensyarah universiti Islam dan lain-lain ulama berdegri. Golongan umat Islam ini tidak tahu bahawa dalam Islam, ulama bukan diukur dengan degri, jawatan dan gaji. Title ulama yang diberi oleh ALLAH kepada hamba-hamba yang tertentu itu bukannya diukur pada degri atau ilmu atau jawatannya semata-mata.

Bahkan darjat ulama di sisi ALLAH sebenarnya manusia tidak boleh mengesannya. Siapa ulama, siapa yang bukan. Hanya ALLAH yang tahu. Empunya diri pun sepatutnya tidak boleh mengaku yang dia itu ulama. Kemudian membuat kumpulan mereka sesama mereka sahaja.Hal inilah yang ingin saya jelaskan agar umat Islam tidak lagi keliru dalam jejak-jejak mereka menuruti langkah hidup ulama.Siapa yang sepatutnya mereka ikut, dengar kata-kata dan terima pimpinannya. Supaya mereka dapat benar-benar berada di belakang pewaris para nabi itu.

Ketiga:
Moga-moga ALLAH izinkan juga saya untuk menjelaskan secara ilmiah, persoalan ulama secara menyeluruh. Agar dengan itu akan jadi panduan untuk golongan ilmuan Islam supaya lahirlah ramai ulama yang sebenarnya di dalam masyarakat.Yakni ulama Akhirat yang beramal lagi bertaqwa.Bukannya ulama celup, ulama berkepentingan dan ulama suk. Dengan itu, diharapkan umat Islam mempunyai banyak obor-obor yang akan benar-benar mendidik dan memimpin mereka untuk bertaqwa.Dan untuk sekali lagi bangun menjadi bangsa yang berdaulat dan bertamadun tinggi, menaungi bangsa-bangsa lain di dunia.


Pengertian UIama Dalam Pandangan Islam

PERKATAAN ulama itu adalah satu istilah dalam bahasa Arab.Ia adalah perkataan jamak (plural), yang berasal dari perkataan tunggalnya ‘alimun. Makna ‘ulama ialah ‘seorang alim’ atau ‘orang  pandai’.Maka ulama ’tentulah bermakna ‘orang-orang alim’.

Boleh juga adikatakan ulama itu ialah parai ilmuan atau para cerdik pandai. Kalau mengikut ertinya dari segi bahasa, ulama itu ialah orang-orang alim dalam apasaja bidang ilmu. Sama ada ilmu dunia atau ilmu Akhirat; ilmu baik atau ilmu jahat. Tidak kira sama  ada ilmu itu diamalkan atau tidak. Orang-orang yang mempunyai ilmu di bidang ekonomi misalnya, maka menurut istilah Arab (bahasa), mereka disebut ulama. Demikian Juga orang-orang yang mengetahui ilmu usuluddin, maka dari segi bahasa mereka itu adalah ulama. Berdasarkan fahaman dan pengertian inilah kita sekarang Memberi gelaran ulama itu kepada seseorang. Yakni siapa saja yang alim walau dalam bidang ilmu apa pun, dipanggil ulama.

Mungkin tidak salah kalau itu disandarkan pada erti lahir dari perkataan ulama itu. Tapi cuba kita lihat dalam Al Quran bagaimana ALLAH menggunakan perkataan ulama itu.

FirmanNya:
Allah mengangkat mereka yang beriman di kalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu itu beberapa darjat.
(Al Mujadalah: 11)

Sesungguhnya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah ulama,
(Fathir: 28)

Kemudian Abu Darda’ ada mengatakan:
Tidak dianggap seseorang itu alim sehinggalah dia beramal dengan ilmunya.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, kita dapat melihat pengertian ulama yang diberikan oleh Islam. Ada perbezaan yang jelas dengan ertinya menurut bahasa lahir semata-mata.

Dalam ayat yang pertama, ALLAH mengatakan diangkat darjat orang-orang yang berilmu itu kerana mereka beriman. Dengan kata lain, orang beriman yang berilmu pengetahuan itu lebih tinggi darjatnya daripada orang beriman tapi kurang ilmu pengetahuannya.Dengan kata lain lagi, tingginya darjat ulama itu ialah kalau dia beriman. Orang yang berilmu pengetahuan tapi tidak beriman tidak diangkat darjatnya.

Adapun orang-orang yang tidak beriman, kalau ilmunya tinggi dan beroleh kebesaran-kebesaran tertentu, itu bukannya darjat tapi istidraj. Darjat adalah anugerah ALLAH yang ada nilai dunia dan Akhirat, yang diberi hanya pada orang beriman. Tapi istidraj, ia merupakan pemberian bernilai keduniaan semata-mata,yang diberi secara murka atau dengan tidak diredhai-Nya.

Dalam ayat yang kedua  pula, ALLAH dengan tegas mengatakan ulama ialah orang yang takut pada ALLAH.Kalau tidak takut pada ALLAH, ertinya bukan ulama. Dengan kata lain, sifat orang alim itu adalah takut pada ALLAH. Kalau orang alim tidak takut pada ALLAH, berdasarkan ayat di atas, dia bukanlah seorang ulama

Tambahan pula ada juga ulama yang pernah berkata,
 “Tidak dianggap alim seseorang itu kecuali ia beramal dengan ilmunya.”

Dengan hujah di atas, saya dapati ulama dalam pandangan Islam, ialah orang alim yang beriman, yang takutkan ALLAH dan beramal dengan ilmunya. Itulah syarat-syarat yang mesti ada pada sesiapa yang menjadi ulama.

Syarat pertamanya berilmu pengetahuan. ALLAH tidak nyatakan ilmu apa.Kerana sudah maklum ilmu Apa yang boleh membuatkan manusia beriman dan bertaqwa. Yakni sebarang ilmu yang bersumberkan Al Quran dan Hadis, yang tunjangnya ialah tauhid dan aqidah. Misalnya ilmu tafsir, feqah, tasawuf, Hadis dan lain-lain lagi. Sebaiknya alim dalam semua bidang tapi kalau alim dalam satu cabang ilmu saja pun cukup untuk disebut ulama.Misalnya, ulama tafsir. Ilmu-ilmu sekular yang memisahkan ilmu dunia dengan ilmu mengenai ALLAH dan Akhirat itu biasanya tidak membawa manusia kepada beriman dan bertaqwa. Bahkan menjadikan manusia tidak kenal ALLAH dan prasangka dengan Islam, dengan Al Quran dan Hadis.Oleh itu berilmu pengetahuan yang dimaksudkan ialah alim tentang Al Quran dan Hadis, dan beriman dengannya.

Kalau ada seorang saintis yang beriman dan bertaqwa hasil kajian sainsnya itu, maka boleh juga disebut ulama.Tetapi ha1 ini jarang terjadi.Maka perkara yang jarang terjadi tidaklah boleh dijadikan hukum.

Di dalam kitab ia dikatakan bermaksud yang jarang berlaku, tidak dijadikan hukum atau tidak diambil kira.

Ada juga berlaku dan memang banyak berlaku hari ini, orang yang tinggi ilmu pengetahuannya dalam hal Al Quran dan Hadis tetapi tidak beriman dan tidak takut padaALLAH dan tidak beramal. Kita katakan tidak beriman kerana memang mereka tidak mengucap dua kalimah syahadat.  Kita katakan tidak takut pada ALLAH kerana walaupun dia orang Islam tapi titah perintah ALLAH dilanggar membuta tuli. Larangan ALLAH dibuat dengar tak dengar saja. Sedangkan orang bertaqwa itu, orang yang beramal. Kerana bila takut padaALLAH, orang akan beramal dengan perintah-perintah ALLAH. Mereka disebut ulama ul ‘amilin. Mengapa ha1 ini terjadi ?

Kerana ilmu agama itu sendiri sudah disekularkan. Yakni roh atau tunjang ilmu itu dibuang dari cabang-cabang ilmunya. Sehingga orang yang pandai dalam ilmu tafsir pun tidak  kenal dan tidak takut  pada ALLAH. Pakar Hadis tidak kenal dan tak cinta pada  Rasulullah.Ahli feqah tidak kenal siapa yang empunya syariat itu. Ilmu usuluddin diambil pengertian lahir sahaja; tidak dibawa kepada hubungan hati dengan Zat Yang  Maha Pencipta. Manakala ilmu tasawuf diselewengkan dari maksud asalnya. Sebab itu profesor tasawuf pun masih berhasad dengki, ego, riyak, sumaah dan lain-lain lagi.Ulama feqah pun terlibat dengan riba, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan perkara-perkara haram yang lain. Ulama yang tidak bertaqwa, tidak beramal, mereka ini dalam Islam disebut ulama suk (jahat). Dalam sistem pendidikan sekular ini,Yahudi bukan saja mengubah dasar ilmu pendidikan dalam bidang-bidang duniawi tapi dalam ilmu-ilmu agama pun sudah diselewengkan tujuan dan matlamat pelajaran dan pendidikan itu.

Maka jadilah lulusan-lulusan tinggi di bidang agama pun tidak ada beza dengan lulusan tinggi dalam bidang keduniaan sama ada di sudut makan minum, berpakaian, rumah-tangga dan lain-lain lagi.Mereka tidak cukup syarat untuk dipanggil ulama. Sementelahan pula, iman dan taqwa itu bukan manusia yang dapat mengukurnya, kerana ia adalah urusan ALLAH. Maka lagi tidak layaklah kita mengaku diri termasuk golongan ulama. Atau mencalonkan diri untuk memegang jawatan-jawatan sebagai ulama atau menjadi anggota persatuan ulama.

Dalam Islam ulama bukan diukur dengan jawatan, pengakuan sijil dan degri (BA, MA dan PhD).Sukatan-sukatan itu dibuat oleh sistem sekular yang berasal daripada orang kafir terutama Yahudi. Sistem yang mengikat ilmu dengan taraf gaji dan jawatan. Yang mana pemberian jawatan ini biasa juga dibuat kerana tujuan politik, kerana hubungan keluarga, kawan atau kerana sikap yang selari dengan orang yang memberi pada  kita. Sedikit sekali diberi kerana ilmu dan taqwanya. Sedangkan dalam sistem pendidikan Islam, ketinggian ilmu diukur pada taraf iman dan taqwa. Bukan untuk makan gaji dan jawatan tinggi, tapi untuk membanyakkan bakti, perjuangan dan pengorbanan fisabilillah.

Dalam Islam, ulamanya bukan dijanjikan kerja atau jawatan atau gaji dengan ilmunya. Kerana ulama tidak layak menjadi kuli atau pekerja dalam sistem tuan atau majikan.Tidak layak diarah-arahkan.Mereka bekerja sebagai tuan dalam sistem Tuhan. Bukannya orang suruhan dalam system tuan atau majikan.Kerja mereka, mereka sendiri yang tentukan. Yang tidak mesti diikat oleh sesiapa, oleh tempoh masa dan oleh peraturan pejabat.Biasanya seorang ulama besar itu jadi pencetus sistem, bukan terikat dengan sistem orang (yang tidak Islamik).

Mereka benar-benar menjadi khalifah ALLAH walaupun tidak memerintah, apalagi kalau memerintah.Bekerja dengan ALLAH dan mengharap gaji dari ALLAH, sekalipun tidak salah mengusahakan pendapatan sendiri.

Sebesar-besar ulama sesudah Rasulullah ialah para Sahabat, para mujtahid, mujaddid,  para fuqahak dan sufi-sufi besar.Mereka inilah sebenar-benar ulama. Kehidupan mereka bagaikan bintang-bintang di langit di sisi bulan purnama yang gemerlapan.Merekalah contoh dan ikutan.

Kajilah sejarah mereka untuk melihat kehidupan ulama yang sepatutnya. Inilah pandangan saya tentang pengertian ulama menurut Islam. Saya rasa kalaupun tidak tepat, tapi tidak menyalahi dasar. Kalau ada sesiapa yang mahu menolak, saya pun tidak berkecil hati.Kerana persoalan inibukan soal soreh dan qat'I atau perkara yang telah diijmakkan oleh para ulama.Sesiapa pun boleh berijtihad menggunakan akal dan ilmu yang ALLAH beri padanya.

Pada diri saya, inilah saja yang ALLAH berikan.Moga-moga ada kebenarannya dan ALLAH beri ganjaran-Nya.

WALLAHU A’LAM.


Ustaz Ashaari Muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan