Khamis, 26 Mei 2011
PERBEZAAN MASYARAKAT SEBELUM MERDEKA DAN SELEPASNYA
Perbezaan-perbezaan dalam keadaan masyarakat sebelum merdeka dan selepasnya dapat dilihat dalam aspek-aspek berikut:
1.Orang miskin, golongan pertengahan dan orang kaya boleh berada dalam satu kampung. Zaman sekarang, masyarakat sudah disusun di mana ada taman untuk orang miskin (rumah kos murah), ada taman untuk golongan pertengahan dan ada taman hanya untuk golongan atau kelas orang- orang kaya.
2.Dahulu hidup gotong-royong di dalam semua hal. Sekarang semuanya diupah justeru tabiat hidup nafsi-nafsi telah menebal.
3.Dahulu semua anak-anak di dalam sebuah kampung dianggap anak bersama. Mereka dijaga sama-sama dan setiap orang boleh menegur atau merotan. Sekarang cikgu pun dilarang merotan . Betapalah orang biasa.
4.Dahulu orang buat maksiat seperti berjudi, secara menyorok-nyorok. Sekarang orang membuat maksiat secara terang-terangan.
5.Dahulu orang alim dan cikgu dihormati serta disegani. Sekarang orang tidak peduli.
6.Dahulu kalau pengantin baru, di dalam masa sebulan, menziarahi keluarga kedua belah pihak agar kenal-mengenal keluarga kedua-dua belah pihak. Mereka juga menziarahi orang yang dihormati iaitu tuan guru dan ketua kampung. Kini ia jarang berlaku lagi.
7.Dahulu kalau ada orang meminang seorang perempuan, orang-orang penting di dalam satu keluarga diajak berunding untuk sama ada menerima atau menolaknya. Hari ini suasana ini sudah tiada lagi bahkan ada kalanya mereka berdua yang berkira.
8.Dahulu lelaki perempuan pantang berkenal-kenalan, lebih-lebih lagi hendak berjalan berdua-duaan. Ianya dianggap satu pantang larang oleh masyarakat. Sekarang berjalan berdua-duaan bagi yang bukan muhrim sudah jadi budaya.
9.Dahulu kalau atas nama mengaji Al Quran atau mengaji agama, guru-guru tidak mengambil upah. Bahkan sesetengah guru, dia menanggung pula makan minum murid-muridnya. Sekarang mengajar Al Quran dan mengaji agama sudah jadi komersil.
10.Dahulu alim ulama tempat orang ziarahi. Sekarang mereka tidak diziarahi lagi.
11.Dahulu setiap pokok yang berbuah di sesebuah kampung, sudah menjadi adat setiap orang boleh mengambilnya dan makanlah sekenyang-kenyangnya. Hanya dilarang membawa balik. Sekarang, jangan. Ia akan dianggap mencuri atau menceroboh.
12.Dahulu kalau orang menangkap banyak ikan sungai, mereka agih-agihkan kepada orang kampung. Mereka tidak jual. Sekarang hal ini tidak berlaku lagi.
13.Dahulu kalau ada pergaduhan di kampung, orang-orang tua akan mendamaikan dan dibuat kenduri. Adakalanya dibuat di masjid. Sekarang tidak berlaku lagi.
14.Dahulu anak-anak muda yang belum berkahwin digalakkan untuk tidur di masjid atau di surau. Sekarang sudah tidak ada lagi.
15.Dahulu, anak lelaki khatam Al Quran lebih dahulu, baru boleh berkhatan. Begitu juga anak-anak perempuan, mesti khatam Al Quran lebih dahulu, baru boleh kahwin. Sekarang berkhatan atau berkahwin tidak ada sangkut-paut dengan Al Quran.
16.Dahulu kalau ibu bapa menghantar anak pergi mengaji AlQuran, mereka menghadiahkan kepada guru itu satu rotan sambil mengatakan kepada guru itu, “Kalau anak saya ini nakal, rotanlah dia dengan rotan ini”. Sekarang merotan murid satu pantang larang.
17.Dahulu orang ramai minat membawa hadiah-hadiah kepada guru-guru. Sekarang tidak berlaku lagi.
18.Dahulu kalau orang tidak pakai songkok berjalan, dianggap kurang adab. Sekarang tidak pakai songkok sudah jadi budaya bahkan ulama pun berjalan bergondol.
19.Dahulu kalau perempuan terutama perempuan muda, malu sangat kalau berselisih di jalan dengan lelaki. Sekarang berjalan berdua-duaan lelaki perempuan bukan muhrim jadi
budaya.
20.Dahulu pasangan yang berkahwin, antara yang lelaki dengan yang perempuan, mesti ada jarak umur. Suami mesti lebih tua daripada isteri. Paling tidak lima tahun. Sekarang
kebanyakan suami isteri umurnya sebaya.
21.Dahulu kalau ada pemuda yang bekerja di negeri lain, contohnya sebagai polis atau askar, kalau mereka balik bercuti, mereka bukan sahaja menziarahi ibu bapa bahkan turut menziarahi tuan-tuan guru dan orang-orang penting di kampung. Kalau tidak, dianggap tidak beradab. Sekarang sekadar ziarah ibu bapa sahaja. Ziarah orang penting di kampung sudah tiada lagi.
22.Dahulu, perempuan-perempuan muda tidak akan keluar rumah kecuali dengan keluarga. Hari ini mereka keluar rumah sesuka hati. Tidak kira sama ada seorang diri atau dengan orang lain. Ia sudah jadi perkara biasa.
23.Dahulu di dalam masa pertunangan, jangan mimpi hendak bertemu. Lebih-lebih lagi hendak dibawa berjalan-jalan. Sekarang belum bertunang pun sudah berjalan berdua-duaan. Betapa pula setelah bertunang.
Beza Hidup Sebelum dan Selepas Merdeka
Aku hidup sempat berada di dalam empat kerajaan
Dua kali kerajaan British, sekali pemerintahan Jepun,
sekali kerajaan Malaysia yang merdeka
Semasa penjajahan terutama penjajahan Jepun
di antara kesusahan dan penderitaan
secara umum akan diceritakan sebagai pengetahuan
Miskin dan papa merata-rata tempat berlaku sangat ketara
Kemudahan kehidupan seperti alat-alat perhubungan,
jalan raya, tempat tinggal dan pakaian amat susahnya
Berbagai-bagai penyakit tidak ada orang yang tidak diserangnya
Ubat-ubatan sangat terbatas, hanya ubat tradisi sahaja
Harimau mengganas, kerbau, lembu, kambing
jadi sasaran bahamannya
Tempat belajar sangat terbatas terutama di zaman Jepun
Kerana itulah cerdik pandai Melayu terlalu kurang
Merata di kalangan orang Melayu buta huruf
terutama kaum ibu
Rata-rata orang Melayu mundur
Pekerjaan sangat terbatas
Ramai yang bekerja sendiri
Di kalangan orang Melayu hanya berjawatan polis, askar, cikgu
Peringkat kerani hanya bilangan jari
Pendapatan rakyat tidak menentu
Untuk menziarahi keluarga sekadar sejauh 20 dan 30 batu
jarang berlaku, terasa sangat jauhnya
Kalau lebih jauh dari itu terputus terus
tidak tahu ke mana hendak dicari sampai mati
Kemajuan boleh dikatakan tidak ada pembangunan
hanya ala kadar sahaja
Pembangunan sangat terbatas sekali
hanya di bandar-bandar sahaja
Bangunan yang paling tinggi di waktu itu hanya 7 tingkat
Hutan merata-rata tempat kerana belum diserang
oleh pembangunan dan kemajuan
Jalan raya amat dhaifnya
Perjalanan di antara satu tempat ke satu tempat
terasa amat jauhnya
Tapi di celah-celah kesusahan dan kepayahan itu
ada yang indahnya
Kasih sayang masih berbunga
Ia berbuah sekalipun tidak lebat
Lebih-lebih lagi sesama keluarga
Bekerjasama tanpa digesa sangat ketara
Sebagai contoh yang ia jadi budaya:
Membuat rumah bergotong-royong bersama
Membuat bendang berderau sesama sekampung
Kalau kenduri-kendara kenduri bersama
Masing-masing membawa bahan mentahnya
untuk dimasak dan makan bersama
Di musim buah, buah-buahan di kebun siapa pun
boleh diambil bersama
Siapa yang mengambilnya sekalipun tidak ada keizinan tuannya
tidak dianggap mencuri
Siapa yang menangkap ikan dapat lebih
diagih-agihkan sekampung
Perempuan-perempuan muda terutama anak dara
dijaga bersama, tidak ada yang berani menodainya
Kalau berlaku sekali-sekala insiden riuh-rendah sekampung,
yang melakukannya sangat malunya
adakalanya berpindah dari kampung
Jarang mendengar kecurian, rompak, samun, pergaduhan,
apatah lagi pembunuhan
Berzina, sumbang muhram, buang anak, rogol
hampir tidak kedengaran
Perceraian susah berlaku dan jarang terjadi
Anak-anak masih menghormati ibu bapanya
Murid-murid masih kasih dengan guru-gurunya
Apatah lagi guru agama dan ulama sangat dihormati
Guru-guru agama dan ulama tempat rujuk orang kampung
Hingga hendak nikah kahwin pun bertanya tok guru
Ziarah-menziarahi masih jadi budaya terutama sesama keluarga
Mencari jodoh adalah urusan orang tua
bukan urusan peribadi, kekal sampai mati
Orang miskin tidak terbiar ada sahaja orang yang memberi
Orang-orang tua atau pemimpin dihormati dan dimuliakan
Orang segan dengan mereka
Krisis di antara puak terlalu sedikit
Apatah lagi kerana politik tidak terjadi
Setelah merdeka apa sudah terjadi?
Setelah merdeka memang tidak dapat dinafi
banyak perkara positif terjadi
Semua orang terasa hal itu, tidak boleh dinafi
Ramai orang Melayu yang pandai dan berjawatan tinggi
Buta huruf sudah tidak ada lagi
Kemajuan dan pembangunan merata negara dan negeri
Kemewahan di kalangan orang Melayu
sudah wujud agak merata
Ramai di kalangan orang Melayu menjadi jutawan
dan bilionwan segera
Kemiskinan semakin berkurangan
Tapi yang malangnya bahkan sangat menyedihkan
budaya lama yang positif
bahkan yang diperlukan setiap masa
hilang begitu sahaja tidak dipertahankan
Lahir pula perkara positif yang baru
menggantikan perkara positif yang lama
yang sangat disayangkan
Kemajuan pesat berlaku tapi budi bahasa yang indah layu
bahkan hilang ditiup bayu
Orang Melayu sudah pandai-pandai
yang berjawatan tinggi sudah ramai
hidup nafsi-nafsi pula jadi budaya
Gotong-royong, bekerjasama, rasa bersama hilang
kecuali digesa-gesa dan terpaksa atau pura-pura
Hidup agak selesa, alat perhubungan mudah
tapi ziarah-menziarahi kurang sekali
kalau ada, terpaksa aja
Selepas merdeka orang Melayu boleh melancong seluruh dunia
tapi tidak pula membawa identiti Islam Melayu
Di waktu itu orang Melayu sudah berfikiran terbuka
maka terbuka pula krisis merata
Orang Melayu terima demokrasi
boleh memilih pemimpin sendiri
tapi berbalahan, perpecahan menjadi-jadi
Wujud sekolah di mana-mana
belajar mudah tapi kasih sayang pecah
ibu bapa, guru-guru tidak dihormati lagi
Peluang pekerjaan terbuka luas
tapi jenayah merata-rata terjadi
perkelahian, pergaduhan, pembunuhan, zina, rogol,
sumbang muhram menjadi berita setiap hari
Mudah pergi ke mana-mana, tapi ketakutan juga
berlaku di mana-mana
Dahulu masjid tempat ibadah, lambang perpaduan
sekarang tempat berbalah dan berpecah belah
Sepatutnya orang Melayu rakyat atau pemimpin
setelah merdeka bebas menambah perkara-perkara
yang positif di atas perkara positif yang sudah ada
Tapi mengapa melahirkan perkara positif yang baru
korbankan pula perkara positif yang lama
Padahal yang lama sangat diperlukan, yang baru juga diperlu
Seolah-olah orang Melayu terpaksa membuat pilihan
di antara dua
Kalau hendakkan perkara yang baru yang sangat berguna
terpaksa korbankan perkara yang lama yang juga berguna
Mengapa ia terjadi begitu?
Di mana salah silapnya?
Apa yang tidak kena?
Mengapa membuat yang baik korbankan yang baik
Mengapa membuat perkara yang perlu,
korbankan pula yang perlu
Sepatutnya yang lama yang baik perlu dipertahankan
tambah lagi dengan yang baru yang perlu
Begitulah satu bangsa yang hendak menjadi satu bangsa
yang baik dan maju
Satu bangsa yang boleh berdiri sendiri
yang dihormati oleh dunia
Kita akui yang baru banyak yang baik
Tapi mengapa yang lama yang baik itu
diganti dengan yang negatif atau yang tidak baik
Itu tentulah salah sistem,
atau pemimpin tidak pandai menilai
dan tidak pandai mendidik rakyat
Bukan senang yang lama yang baik itu
hendak dikembalikan semula?!
Dan juga tidak semudahnya yang baru yang negatif itu
hendak ditumpaskan pula
Kalau bukan Tuhan campur tangan
mungkin seratus tahun lagi tidak akan selesai
Semoga yang lama dapat dihidupkan semula,
yang baru dikekalkan juga,
di samping dimantapkan lagiiman dan taqwa
Maka lahirlah negara yang aman makmur
dan mendapat keampunan Tuhan
Itulah cita-cita kita
Nukilan: Allahyarham Ust Hj Ashaari Muhammad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan