Ahad, 15 Mei 2011
Mati dan Hidup Sebagai Ujian
Firman Tuhan, dalam Al-Quran maksudnya: “Dijadikan mati dan hidup untuk menguji manusia siapakah di kalangan mereka yang baik amalannya.” (Al-Mulk:2)
Dalam ayat ini, Tuhan sebut mati dan hidup. Tidak disebut hidup dan mati. Tetapi dimulakan dengan mati kemudian barulah hidup. Apakah maksudnya ?
Itu Tuhan hendak memberitahu kita bahawa memikirkan tentang mati atau selepas mati itu lebih utama daripada masa hidup. Di sini juga Tuhan menunjukkan adanya mati. Untuk selamat selepas mati, Tuhan menegaskan supaya membuat amalan baik di waktu hidup lagi.
Maksud amalan baik ini mestilah ikut disiplin atau ukuran Tuhan, bukannya disiplin atau ukuran manusia. Sebab kalaulah buat baik ikut ukuran manusia, ramai yang menyangka mereka sudah membuat baik. Tetapi baik itu adalah mengikut cara mereka. Mereka membuat baik bukan untuk keredhaan Tuhan. Mereka membuat baik sebab ada kepentingan dunia. Mereka membuat baik sebab mahukan ganjaran dan balasan. Mereka buat baik sebab mahukan nama dan glamour. Yang penting di sini, walaupun tadi dituntut untuk membuat baik, tetapi tak cukup sekadar itu. Kenalah membuat baik semata-mata nak dapat redha Tuhan. Tidak boleh sekali-kali disimpangkan niat atau tujuan membuat baik. Jika tidak, ia tak akan menjadi amalan baik. Sebab bagi Tuhan, amalan baik itu tidak cukup sekadar amalan lahir. Ia kenalah disertakan amalan batin.
Berbalik kepada ayat tersebut, hidup di dunia ini Tuhan akan menguji. Ujian ini kalau hendak diperincikan terlalu banyak. Antara ujian itu ialah status hidup. Jelas, bagaimanapun status kita, dituntut untuk kita membuat baik. Tak kira apapun status kita, kenalah membuat baik agar kita selamat selepas mati nanti. Dengan membuat baik inilah menjadi kebahagiaan kita di akhirat kelak.
Status kita dalam hidup ada berbagai. Ada di antara kita yang menjadi kaya. Bagaimana dengan kaya, kita boleh membuat baik ? Iaitu bila boleh jadi pemurah. Dengan kaya itu, boleh menolong orang miskin dan membantu orang yang berjuang di jalan Allah. Tak pula semua orang itu kaya. Ada juga yang miskin. Bagi yang miskin dituntut juga membuat baik dengan miskinnya itu. Bagaimana ? Iaitu dengan miskin, dia boleh sabar atau redha. Dengan miskin, dia boleh jaga syariat Tuhan. Walaupun miskin, dia masih boleh gunakan tenaganya untuk menolong orang .
Ada pula yang yang dapat kuasa, statusnya sebagai pemimpin atau raja. Tidaklah salah menjadi pemimpin atau raja, tetapi kuasa itu kenalah dijadikan amalan baik. Setidak-tidaknya dia boleh adil sebagai pemimpin dan juga boleh merendah diri dengan orang bawahannya. Bagi mereka yang bergelar Ilmuan atau ulamak, boleh berbuat baik dengan berbagai cara seperti memberi ilmu dan nasihat-menasihati orang kerana Tuhan.
Antara status tinggi dan status rendah di dunia, kenalah berhati-hati dengan status yang tinggi. Biasanya orang status tinggi lupa dengan Tuhan. Selalunya orang yang berstatus tinggi ini menderhakai Tuhan. Antara penyakit orang status tinggi ini adalah sombong, megah, riak dan tidak peduli orang. Kalaupun peduli orang, itu lebih untuk mendapatkan pujian. Supaya dia dapat nama dan disanjung tinggi.
Demikianlah secara ringkas diterangkan tentang maksud ayat Al-Quran tersebut. Moga-moga dapatlah kita memahami dan menjadikannya sebagai panduan hidup.
Dalam negatif, ada positif
Setiap sesuatu yang negatif mesti dilihat dari sudut yang positif. Atas sesuatu yang negatif berlaku pada kita, walaupun nampak negatif, tetapi di situ ada pengajaran, ada didikan dan ada hikmah daripada Tuhan. Di sebalik yang tersurat berbentuk negatif, ada tersirat yang berbentuk positif. Hal sedemikian, jika tidak dicungkil, jika tidak digali, akan tinggal sebagai negatif. Padahal jika negatif dilihat sebagai negatif sahaja, ia akan terus tinggal sebagai negatif. Bahkan ia sedikit atau banyak, boleh mempengaruhi kehidupan kita. Dengan mencari hikmah serta pengajaran disebaliknya, nescaya ia akan dilihat sebagai positif. Walau negatif, tetapi tetap positif. Itulah yang sepatutnya menjadi panduan kita dalam berdepan dengan perkara-perkara negatif.
Contohnya seperti ini:
Kalau kita sakit, asal nampak negatif. Tapi tahukah kita bahawa dengan sakit, kita akan dapat pahala percuma dari Allah? Allah buat begitu sebab nak beri pahala kepada kita. Memanglah teruk kita menanggung kesakitan, tapi dengannya itu kita dijanjikan pahala oleh Tuhan tanpa perlu kita bersusah payah buat ibadah. Selain itu, dengan sakit, ia dapat memberi kerehatan kepada badan kita untuk satu tempoh yang sementara. Seolah-olah satu paksaan dari Tuhan untuk membolehkan tubuh badan kita direhatkan daripada kepenatan dan keletihan bekerja. Dengan sakit juga, setidak-tidaknya boleh memberi keinsafan kepada kita. Selama ini kita sentiasa sihat, sekarang diberikan sakit supaya kita beringat agar gunakan waktu sihat di jalan Allah. Supaya kita tidak lalai dan leka daripada mengingati Allah. Mulanya negatif, tetapi bila dikaji-kaji, dicari hikmah dan pengajaran, sakit itu sebenarnya positif.
Contoh lain:
Kita dihina dan dikata orang. Memanglah sakit hati kita mendengarnya. Pada lahirnya memang negatif. Tapi, jika kita positifkan, kita tidak balas hinaan tersebut sebaliknya kita katakan pada diri kita, “memang aku ini hamba Tuhan, layak dihina dan layak dikata.” Dengan melihatnya sebagai positif, kita sudah dapat mengelakkan daripada krisis antara kita dengan orang yang mengata itu berlarutan. Sekurang-kurangnya dengan lapang dada kita, kita sudah dapat mencetuskan perpaduan. Bahkan dengan menilai kata-kata hinaan tersebut, mungkin ada kebenarannya dan ini dapat membaiki kelemahan kita. Juga, hasil sabar kita, Allah akan meningkat darjat kita.
Inilah yang difirmankan Tuhan, dalam Al-Quran, maksudnya:
"Sifat baik itu tidak akan diberikan melainkan kepada orang-orang yang sabar."
Seperkara lagi yang cukup besar, bila ada orang hina dan orang kata kepada kita, akan jatuhlah ego kita, dan mencairkan kesombongan kita. Cuba bayangkan, kalau tidak ada orang mengata dan menghina kita, kita akan rasa diri hebat dan rasa diri sempurna. Itulah ego namanya.
Dua contoh yang diberikan di atas sudah cukup mendorong kita untuk menjadi orang yang berfikiran positif. Mulakanlah kehidupan kita setiap hari ini dengan keazaman untuk melihat sesuatu itu dengan positif. Daripada situlah nanti kita akan sentiasa positif dengan apa jua keadaan yang berlaku. Hasilnya, kita akan menjadi orang yang sentiasa tenang dengan kehidupan dunia.
Nikmat Tuhan Yang Paling Berharga
Marilah kita berfikir tentang nikmat Tuhan
Agar kita boleh bersyukur dan malu kepada-Nya
Sedarlah kita, lebih banyak nikmat yang kita tidak minta diberi
Yang kita minta tidak dikabuli sedikit sahaja
Tapi kita tidak sedar apa yang berlaku kepada diri kita
Bahkan nikmat yang diberi yang tidak diminta,
lebih berharga daripada yang kita minta sama ada dikabuli atau tidak:
Wujudnya kita, satu nikmat yang besar tanpa kita minta
Iman dan Islam yang ada pada kita lebih besar lagi tidak kita minta juga
Kerana kita lahir daripada ibu bapa yang sudah sedia menerimanya
Kita pun terus menyambungnya, cuma kita diperintah berusaha menyuburkannya
Otak dan hati nurani bukankah juga kita tidak memintanya?
Mata, telinga, hidung dan mulut dan segala jawarih adakah kita memintanya?!
Tidak perlu saya menjawabnya
Juga nafas turun naik Tuhan anugerahkan tanpa memintanya
Yang kita usahakan dan yang kita minta dapat, murah sangat nilainya
Di antaranya pangkat, wang ringgit, kesihatan, suami atau isteri dan anak-anak
Juga rumah, pakaian, pinggan mangkuk dan perhiasan yang ada
Selain ini tidak payahlah disebut lagi, sangat murahnya nilainya
Mengapa kita tidak terfikir selama ini
nikmat yang diberi yang tidak kita minta lebih besar nilainya
bahkan lebih banyak
Mana lebih besar nikmat wujudnya kita yang kita tidak minta
dengan wang ringgit yang kita usaha dan minta?
Juga iman dan Islam yang kita tidak minta,
mana lebih besar daripada pakaian dan perabot?
Nafas turun naik yang kita tidak minta,
mana lebih utama daripada suami atau isteri kita?
Semua orang boleh menjawabnya
Oleh itu jika ada yang kita minta tidak dikabulkan oleh Tuhan kita
Tak usahlah susah hati
kerana yang tidak dapat itu nilainya murah sahaja
dibandingkan dengan yang tidak diminta
Syukurilah Tuhan apa yang ada!
Nanti Allah Taala akan menambahkan lagi sekalipun tidak diminta
Nukilan: Allahyarham Ust Hj Ashaari Muhammad
Selepas Asar
2.9.99
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan