Ahad, 31 Julai 2011

Selamat Datang Ramadhan


Ya Allah…
Tuhan telah sering kuterdengar
Tentang kebesaran bulan ramadhan
Di dalam Al-Qur’an dan sabda junjungan
Hanya aku yang sering melupakannya
Di bulan yang mulia ini
Laut pengampunanMu tiada bertepi
Rahmat dan nikmatMu tiada terbilang
Syurga terbuka dengan seluasnya

Tuhan kusedari kelemahan diri ini
Yang tidak istiqamah dalam beribadah
Ramadhan berlalu ibadah pun berulangan
Begitulah diriku yang sering kelalaian
Semoga di ramadhan kali ini
Dapat kuperbaiki kelemahan diri
Akan kucoba mendidik nafsuku
Agar subur kehambaanku terhadapMu

Lailatul qadar pasti menjelma
Buat mereka yang menunggunya
Para malaikat merendahkan sayapnya
Meratakan meski untuk semua

Bimbinglah aku menuju jalanMu
Tingkatkan iman dan ketaqwaanku
Agar baktiku tetap padaMu
Biarpun ramadhan telah berlalu

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

RAMADHAN MEMBAWA HADIAH YANG BANYAK



Dengan rahmat Tuhan Ramadhan tiba lagi
Ramadhan membawa hadiah-hadiah yang terlalu banyaknya
Mahal dan besar-besar dari Tuhan
Hadiah buat orang bertaqwa
Bukan untuk orang Islam
Lebih-lebih lagi bukan untuk orang yang zalim dan fasiq
Hadiah dari Tuhan yang bermacam-macam
Diletakkan di dalam batil-batil dari bahan-bahan yang mahal

Di antara hadiah-hadiah itu ialah:

1. hadiah keampunan Tuhan, hadiah terbesar buat orang yang bertaqwa
2. hadiah keredhaan-Nya juga mahal
3. kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan
4. rahmat-Nya
5. berkat dari-Nya dunia Akhirat
6. diberi-Nya pahala berganda-ganda
7. hadiah lailatul qadar diberi ganjaran seribu bulan beribadah
8. akhirnya Syurga Tuhan yang kekal abadi

Kedatangan Ramadhan yang sebenarnya
bertukar-tukar hadiah di antara hamba-hamba dengan Tuhan
Hadiah di antara dua pihak bukan satu pihak sahaja
Hadiah dari Tuhan adalah mahal nisbah hamba
Hadiah dari hamba adalah mahal juga untuk Tuhan
Siapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Tuhan
Maka dapatlah hadiah dari Tuhan yang juga sangat mahalnya
Rupanya ketibaan Ramadhan pun bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan
Tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Tuhan
Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang balas hadiah oleh Tuhan
seperti yang akan disebutkan
Wadah-wadah orang yang bertaqwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadi ada pulangannya


Wadah-wadah itu banyak pula di antaranya:
1. Ada wadah puasa yang diisi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba
Rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur

2. Wadah sembahyang diisi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat,
Rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawadhuk, khusyuk, Gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan

3.Wadah membaca Al Quran diisi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan
Terasa kebesaran Tuhan, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insan
Hati tenang, bertambah takut dengan Tuhan dengki hilang

4. Wadah zikir seperti tasbih, tahmid, takbir diisikan dengan mensucikan Tuhan,
Memuji Tuhan, membesarkan Tuhan, tawakkal, penyerahan diri kepada Tuhan,
baik sangka

Membesarkan Akhirat, mudah dengan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinya
Tenang dengan dunia, gelisah dengan Akhirat Jika setiap wadah-wadah tadi dapat diisi dengan rasa-rasa yang telah disebutkan tadi

Orang bertaqwa sungguh dapat manghayati Ramadhan dengan akal fikiran, hati dan jiwa raganya Ruh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya Ruh di atas roh, jiwa di atas jiwa Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan Itulah orang bertaqwa

Orang bertaqwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar Kerana orang bertaqwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Tuhan Hadiah-menghadiah bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Tuhan seperti yang telah dinyatakan Dia tidak akan dapat hadiah dari Tuhan Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Tuhan sia-sia sahaja Ramadhan Dia tidak dapat apa-apa kecuali dahaga, kelaparan, kehausan dan keletihan

Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui Adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Tuhan?

Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita anugerahkan kepada Tuhan
setiap Ramadhan bukan?

Apakah hadiah hadiah kita itu Tuhan balas dengan hadiah yang telah disebutkan?

Semua soalan-soalan itu setiap orang boleh memberi jawapan Berdasarkan ilmu pengetahuan seperti yang digambarkan Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Tuhan di bulan Ramadhan Kerana bulan Ramadhan kita jadikan pesta minum dan makan Pesta borak-borak dan bualan-bualan selepas sembahyang sebelum pulang Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Tuhan Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati dan jiwa Ramadhan bukan pesta lahiriah Atau pesta syariat rohnya tidak ada.


HORMATILAH RAMADHAN

Hormatilah ramadhan
Hormatilah muliakanlah bulan ramadhan
Berpuasa disiangnya beribadah dimalamnya
Tinggalkan dosa banyakkan pahala
Moga Allah meridhai kita

Banyakkanlah amal ibadah yang bermacam-macam
Tambahkanlah jua sedekah disepanjang bulan ramadhan
Berbukalah dengan yang halal jauhkan pembaziran
Kurangkan keluar di bulan puasa
Untuk mengela dari membuat dosa
Melainkan ada perkara yang penting
Agar ibadah puasa kita tidak terjejas

Jauhkan dari perkara yang haram dan jua yang syubhat
Jauhkan dari banyak berkata yang sia-sia
Membaca Al-Qur’an jangan dilupakan ia panduan untuk kita
Moga kita dapat pengajaran darinya
Supaya hidup kita berada di jalan yang lurus

Begitulah cara menghormati bulan ramadhan
Agar kita dapat mengisi dengan sebaik-baiknya
Ia datang setahun hanya sebulan sahaja

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Sabtu, 16 Julai 2011

Tokku Paloh Ulama Sufi Penasihat Sultan Zainal Abidin III


Al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus
(Tokku Paloh -1817M – 1918M)


TOKKU PALOH atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Aidrus adalah ulama kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu. Beliau hidup dalam zaman pemeritahan lapan orang sultan silih berganti; paling lama dan paling kuat pengaruh beliau ialah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-II.

Kerana kewibawaannya, beliau diberi mandat oleh Sultan mentadbir kawasan Paloh dan mengawasi kawasan Hulu Terengganu. Beliau juga diterima sebagai penasihat pertama dan utama kepada Sultan dalam berbagai persoalan. Beliau tegas dan pintar dalam bidang diplomatik, dan sering diberi peluang mewakili Sultan berunding dengan pihak British sehingga pada zaman itu British gagal menjajah Terengganu.

Tokku Paloh terkenal sebagai seorang wali Allah yang mempunyai berbagai karamah dan sentiasa mendapat bantuan Allah SWT khususnya sewaktu mengendalikan urusan rakyat. Tokku Paloh adalah khalifah Tareqat Naqsyabandiah, dan beliau turut mengamal dan mengembang luaskan 'Syahadat Tokku', satu amalan yang disusun oleh ayahnya Tokku Tuan Besar


Pencatur Dasar Luar Terengganu

Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh.

Baginda menyebut,
"Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu,"

yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.

Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh 'mengambil' Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka.

"Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah,"

demikianlah jawapan ulama besar itu kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tokku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu, yang diluahkan dengan tenang tapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. Mereka bangun untuk beredar.

Tetapi, dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai.

Waktu itu Tokku Paloh bersuara secara bersahaja:
"Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil".

sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.

Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak (pemerintah). Tegasnya, antara Sayid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tukku Paloh, dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-ll (memerintah 1881-1918).


Keturunan Rasulullah SAW

Dilahirkan pada tahun 1817 (1236 Hijrah) di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Tokku Paloh adalah nasab ke-32 daripada Rasulullah SAW di kalangan keluarga Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah. lbunya, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.

Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tokku Tuan Besar menjadi Syeikhul Ulama iaitu ketua seluruh ulama Terengganu, dan dianugerahkan gelaran Paduka Raja Indra oleh baginda Sultan. Kedua-dua kedudukan itu menjadikan Tokku Tuan Besar sangat dihormati dan berpengaruh di kalangan istana dan rakyat keseluruhannya.

Sebagai seorang ulama yang bertanggungjawab dan berpengaruh, Tokku Tuan Besar berusaha sehingga terlaksana hukum-hukum Islam secara meluas dalam sistem pentadbiran dan kehidupan di bawah pemerintahan Sultan Omar (memerintah 1839-1875), hingga Terengganu terus terkenal sebagai negeri yang berpegang teguh dengan Islam, di sekitar pertengahan abad ke-18 Masihi.

Menyedari pentingnya penyebaran ilmu agama dan bimbingan amal, maka Tokku Tuan Besar mendirikan masjid di Kampung Cabang Tiga. Masjid ini kini telah diubahsuai dan meriah dengan ahli jemaah. Di sinilah Tokku Tuan Besar yang juga pengarang beberapa buah kitab itu menyebarkan ilmu dan tarbiah kepada ramai anak muridnya dan anak-anaknya sendiri termasuk Sayid Abdul Rahman (Tokku Paloh).

Dengan itu nyatalah Tokku Paloh itu bukan saja berketurunan Rasulullah SAW yang mulia malah mendapat didikan dan asuhan dalam keluarga yang kuat beragama. Semua adik-beradiknya juga mempunyai keahlian dalam hal-ehwal agama dan di antara yang terkenal ialah Sayid Zain (dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 1864 oleh Sultan Omar), Sayid Ahmad (bergelar Tuan Ngah Seberang Baroh) dan Sayid Mustaffa (seorang ulama yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri; merupakan salah seorang dan empat pembesar yang pernah diwakilkan memegang pemerintahan negeri sewaktu Sultan Zainal Abidin III melawat Siam pada Ogos 1896.

Di kalangan adik-beradiknya, Tokku Palohlah yang paling masyhur dan mempunyai banyak keistimewaan yang luar biasa.

Menurut cucunya Sayid Abdul Aziz, sejak kecilnya lagi sudah ada tanda-tanda pelik yang mengisyaratkan Tokku Paloh akan muncul menjadi orang penting masyarakat. Satu ketika semasa Tokku Paloh berada bersama ayahnya Tokku Tuan Besar, tiba-tiba saja Tokku Paloh melihat seorang yang berserban dan berjubah hijau memanggilnya.

Tokku Tuan Besar menahannya seraya berkata,
"Engkau jangan pergi dekat orang itu, nanti engkau tidak boleh bersama abah lagi."

Perkataan Tokku Tuan Besar itu tidak begitu pasti apa maksudnya. Tetapi yang nyala, Tokku Tuan Besar juga seorang yang kasyaf; dapat melihat kemunculan seorang yang berserban dan berjubah hijau itu.

Siapa orangnya?
Wallahu a'lam.


Menuntut di Mekah

Tokku Paloh mendapat didikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa orang ulama tempatan. Kemudian beliau mengikut jejak ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman di Makkah Al Mukarramah. Di sana beliau belajar dengan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan khatam banyak kitab muktabar dalam berbagai bidang ilmu- tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, nahu, saraf dan lain-lain.

Penulis gagal menemui orang yang tahu secara detail liku-liku perjalanan Tokku Paloh menuntut ilmu. Bagaimanapun, yang jelasnya Tokku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawuf dan ilmu tareqat. Malah beliau ada mengarang kitab dan risalah mengenai persoalan kerohanian.

Setelah lebih 10 tahun di Makkah, Tukku Paloh pulang sebagai seorang ulama besar. Beliau seorang yang warak dan terkenal sebagai pemimpin kerohanian yang mengembangkan Tareqat Naqsyabandiah. Beliau adalah khalifah tareqat ini.

Sepulangnya dari Makkah, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ini merupakan langkah awal beliau berkhidmat kepada orang rarnai, sebelum melangkah kepada kegiatan yang lebih mencabar, bukan saja dalam bidang pengajaran ilmu tetapi juga dalam bidang pentadbiran, pemerintahan dan jihadnya menentang mungkar dan penjajah British.


Sembahyang Berimamkan Nabi Khidir a.s.

"Tokku mengajar di surau ini juga", cerita Sayid Abdul Aziz, sambil menunjuk balai serbaguna yang dibangunkan oleh Tokku Paloh itu.

Menurutnya, semasa hayat Tokku Paloh, sekurang-kurangnya dua kali Nabi Khidir a.s datang berjemaah Subuh di balai tersebut. Peristiwa pertama berlaku semasa Tokku Paloh tidak sembahyang berjemaah bersama dengan murid-muridnya. Para ahli jemaah mendapati ada orang asing yang berserban jubah menjadi imam pada pagi itu. Selesai sembahyang, orang yang tidak dikenali itu duduk bersandar di tiang hujung di sebelab kanan balai itu sambil berwirid sebelum beliau pergi menghilangkan diri.

Tokku Paloh tahu hal ini, lalu berkata kepada murid-muridnya:
"Kamu tahu siapa yang jadi imam tadi?"

Masing-masing diam dan Tokku Paloh terus berkata:

"Beruntunglah kamu, yang menjadi imam itu tadi ialah Nabi Khidir a.s. Dapat pahala besarlah kamu.

Kali kedua, Nabi Khidir a.s. datang berjemaah Subuh di balai itu ketika Tokku Paloh menjadi imam. Selain balai itu,

Tokku Paloh mendirikan sebuah masjid kira-kira 10 rantai dan rumahnya sebagai tempat mendirikan sembahyang Jumaat dan sembahyang lima waktu. Masjid itu juga menjadi tempat murid-muridnya belajar ilmu dan mengadakan perhimpunan besar bagi merayakan satu-satu majlis yang berkaitan agama.

Di dua pusat inilah (balai dan masjid) Tokku Paloh memimpin dan membimbing orang ramai dengan ilmu, amal dan tarbiah rohani. Beliau mengajar ilmu-ilmu tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, Hadis dan juga nahu saraf.

Beliau sangat menekankan ilmu dan amalan tasawuf di kalangan pengikut-pengikutnya. Malah Tokku Paloh mengarang kitab Maarijulah fan (tangga orang-orang yang sangat dahaga untuk naik kepada hakikat-hakikat pengenalan). Kitab ini membicarakan persoalan hati bagi mereka yang bermujahadah sehingga menjadi seorang yang bertakarrub ilallah.


Mahkamah Keadilan Sendiri

Tokku Paloh mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh. Beliau mendapat mandat daripada sultan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan besar dan mengadili penjahat-penjahat di kawasan pentadbirannya. Mana-mana keputusan yang dibuatnya dikira muktamad tanpa perlu merujuk kepada sultan. Dan dalam soal ini beliau ada mengeluarkan surat kuasa terhadap pembawa ajaran sesat.

Dengan itu tidak hairanlah nama Tokku Paloh semakin masyhur sebagai seorang ulama yang berwibawa dalam pemerintahan. Beliau berjaya membangunkan Paloh menjadi kawasan yang aman damai dan mempunyai kekuatan yang digeruni musuh.

Selain itu, Tokku Paloh juga dilantik sebagai Syeikhul Ulama, jawatan tertinggi dalam urusan agama. Jawatan ini pernah disandang oleh ayahnya Tokku Tuan Besar. Tokku Paloh adalah juga ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Bagaimanapun, Tokku Paloh lebih banyak membuat perhubungan peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III daripada perhubungan secara rasmi. Eratnya hubungan Tokku Paloh dengan Sultan amat nyata di mana salah seorang isterinya, Tengku Mandak, ialah kekanda kepada Sultan Zainal Abidin. Baginda Sultan pula telah menyerahkan anaknya, Tengu Sulaiman kepada Tokku Paloh untuk dijadikan anak angkat dan dididik dengan didikan agama. Tengku Sulaiman ini kemudiannya menjadi Sultan Terengganu yang ke-13, memerintah antara 1920-1942.

Demikianlah, setelah begitu lama menyumbang bakti kepada rakyat dan kerajaan maka Tokku Paloh jatub uzur dan kembali ke rahmatullah menernui kekasihnya Allah SWT pada 1 Zulhijjah 1336 Hijrah (1917) dalam usia 100 tahun. Setahun kemudian Sultan Zainal Abidin III pula mangkat iaitu pada 1 November 1918. Jenazah Tokku Paloh dimaqamkan di satu kawasan tinggi di Paloh. Beliau meninggalkan lebih 23 orang anak daripada lapan orang isteri. Semasa hayatnya Tokku Paloh sentiasa saja beristeri empat orang secara poligami, dan isterinya seramai 13 orang kesemuanya.

Gabungan diantara Ulama dan Umara yg berjiwa sufi

imej Sultan Zainal Abidin III

Di antara anak murid Tokku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III sendiri. Baginda sultan sering berulang-alik dan istananya ke Paloh untuk belajar ilmu dan berbincang mengenai berbagai perkara dengan Tokku Paloh. Baginda mempunyai minat dan kebolehan yang luar biasa dalam bidang ilmu pengetahuan.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Selain Tokku Paloh, guru-guru baginda yang lain temasuklah Hj. Wan Abdullah Mohd Amin (Tuk Syeikh Duyung), Hj. Wan Mohd bin Abdullah, Hj. Wan Abdul Latif bin Abdullah Losong dan lain-lain. Baginda juga boleh berbahasa Arab hasil tunjuk ajar seorang guru khas, Habib Umar.

Berkat dan kesungguhan menuntut ilmu dan sikap memuliakan ulama, Sultan Zainal Abidin III diakui oleh rakyat sebagai raja yang alim dan taat berpegang kepada ajaran Islam. Hingga dikatakan, semasa pemerintahan baginda, susah untuk dicari seorang yang sudah sampai umur yang belum khatam Al-Quran di Terengganu.

Seperti juga ayahnya, Tokku Paloh seorang yang sangat berpengaruh di kalangan istana dan menjadi tempat rujuk sultan. Malah perlantikan sultan itu sendiri mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh Tokku Paloh di kalangan istana, yang diwarisi daripada ayahnya Sayid Muhammad bin Zainal Abidin, yang terkenal dengan panggilan Tokku Tuan Besar, juga merupakan tokoh agama yang amat terkenal dan pengarang kepada lebih kurang 16 buah buku agama dan nazam.

Hubungan Tokku Paloh dengan sultan ini boleh disamakan dengan hubungan antara Sultan Zainal Abidin I (memerintah 1725-1734) dengan seorang lagi ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Ulama yang terkenal dengan gelaran Tuk Pulau Manis ini juga dikenali sebagai wali Allah, dan banyak mengarang kitab. Sebagai Syeikhul Ulama dan mufti, Tuk Pulau Manis amat berpengaruh di kalangan istana dan dikatakan bertanggungjawab atas pertabalan Sultan Zainal Abidin I yang kemudian menjadi menantu beliau.

Menyedari peri pentingnya pemerintahan raja yang adil yang berlunaskan hukum-hukum Allah SWT, Tokku Paloh bersama Sayid Abdullah (Menteri Besar ketika itu) mengetuai sokongan terhadap perlantikan Tengku Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu menggantikan Sultan Ahmad Shah II (memerintah 1876-1881).

Sokongan dua orang yang berpengaruh ini sungguh berkesan sehingga Sultan Zainal Abidin kekal sebagai raja yang berjaya menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah walaupun usianya ketika mula memegang tampuk pemerintahan negeri baru 16 tahun. Kejayaan baginda itu adalah berkat mendampingi serta menerima keputusan ulama. Baginda memerintah selama kira-kira 36 tahun 11 bulan hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1918.

Ketika Sultan Zainal-Abidin III mula naik takhta, Tokku Paloh belum menjawat apa-apa jawatan penting secara rasmi. Tetapi sebagai seorang tokoh agama, beliau sudah berpengaruh di kalangan istana. Kemudian beliau menjadi Syeikhul Ulama (ketua ulama) Terengganu dan dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri dalam kerajaan Sultan Zainal Abidin. Dengan kedudukan itu Tokku Paloh bertanggungjawab membantu kerajaan mentadbir negeri dan rakyat.

Bagaimanapun, ulama dan ahli tareqat yang arif perjalanan rohani ini lebih banyak berhubung secara peribadi dalam berbagai-bagai hal dengan Sultan Zainal Abidin. Keistimewaan ini menjadikan Tokku Paloh sebagai penasihat Sultan dan orang yang bertanggungjawab di belakang keputusan-keputusan yang dibuat oleh Sultan dalam pelbagai perkara terutamanya mengenai dasar luar negeri.


Menentang Pertapakan British di Terengganu

Percubaan British untuk menjajah Terengganu bermula sejak awal abad ke-20. Gabenor Negeri-negeri Selat, Frank Swettenham, tanpa terlebih dahulu berunding, datang ke Terengganu pada tahun 1902 dan mengadap Sultan untuk mendapat persetujuan sultan mengenai satu rangka perjanjian yang disediakan di London antara kerajaan British dan Siam. Tetapi perjanjian yang kononnya memberi pengiktirafan yang lebih jelas terhadap naungan kerajaan Siam ke atas Terengganu itu secara rasmi ditolak oleh kerajaan Terengganu.

Sultan Zainal Abidin dan penasihat-penasihat baginda menyedari kesan daripada perjanjian itu dan nampak perancangan jauh kerajaan British yang beria-ia benar mempelopori perjanjian itu supaya ditandatangani. Sedangkan kerajaan Siam sentiasa menghormati pemerintahan Terengganu yang berdaulat.

Perkiraan itu ternyata berlaku pada 10 Mac 1909 bertempat di Bangkok di mana kerajaan British secara senyap menandatangani satu perjanjian baru dengan kerajaan Siam. Entah ganjaran apa yang diperolehi oleh kerajaan Siam, melalui pejanjian itu kerajaan Siam memindahkan (menyerahkan) segala hak naungan, perlindungan, pentadbiran, kawalan dan apa saja yang dipunyainya ke atas negeri-negeri Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu serta pulau-pulau berhampiran.

Dengan perjanjian baru itu bermakna Terengganu bulat-bulat duduk di bawah kekuasaan British seperti terkandung dalam butir-butir perjanjian pertama tajaan British yang kononnya untuk menjelaskan pengiktirafan terhadap naungan Siam itu.

Sekali lagi kerajaan Terengganu ridak mengiktiraf dan menentang perjanjian berniat jahat itu. Malah pihak istana dan pembesar-pembesar negeri sangat marah dengan taktik halus British. Tokku Paloh, yang sangat berpengaruh terhadap dasar luar Terengganu, memberi pandangannya mengenai cita-cita British yang berkehendakan Terengganu dengan pertolongan Siam itu, dengan katanya antara lain:

"Dimaklumkan bahawa perkara ehwal treaty (perjanjian) yang dikehendaki oleh Inggeris dengan kebenaran Siam itu sangat besarlah pada paham paduka ayahanda (maksudnya beliau) waqiahnya dan sangatlah pada fuad (hati) Seri Paduka Anakanda Sultan Zainal Abidin akan akllahu al dafihi (telah menolong akan engkau oleh Allah SWT atas penolakannya) kerana sudah bersatu kira antara Siam dan Inggeris tetapi Insya-Allah tiada sekali-kali Allah SWT tasalitkan (beri kekuasaan-Nya) kuffar (orang kafir) atas Muslimin melainkan sebab tadyik (menghilangkan) mereka itu akan huquk (hak) syariat dan tiada bersungguh-sungguh mereka itu berpegang atas syariat yang mutahharah (undang-undang suci Islam) dan pemasukan ke dalam agama Islam akan barang yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Maka wajiblah pada sekarang ini Seri Paduka Anakanda (Sultan) berkuat pada menzahirkan agama dan membatalkan segala mungkarat (kejahatan), jangan sekali tidak hirau..."

Walaupun usaha itu gagal, British terus menjalankan diplomasinya dalam berbagai bentuk rundingan. Antara pegawai yang mewakili British ialah W.L. Conlay. Dalam beberapa kali rundingan yang diadakan dengan pihak istana (tidak kurang dua kali). Sultan Zainal Abidin mengarahkan pihak British supaya berunding secara langsung dengan Tokku Paloh.

Sultan berkata kepada wakil British: "Terengganu ini ada tuannya, sila berunding dengan tuannya (yang dimaksudkan ialah Tokku Paloh)."


Berunding Dengan British

Rundingan pertama yang dijadualkan berlangsung di atas armada British terpaksa dibatalkan oleh British kerana dikatakan kapal armada itu beberapa kali senget apabila Tokku Paloh menyengetkan serbannya. Ini menakutkan wakil-wakil British yang menganggap kejadian itu satu magic (sihir atau silap mata) sedangkan yang sebenarnya adalah karamah kurniaan Allah kepada Tokku Paloh.

Ekoran itu, rundingan diadakan juga pada waktu lain dan kali ini di rumah Tokku Paloh. Untuk itu, Tokku Paloh meminjam beberapa buah kerusi bagi meraikan orang putih yang tidak pandai duduk bersila itu.

Dengan duduk di atas kerusi, rundingan berjalan dengan panjang lebar dan antara lain wakil British memaklumkan bahawa pihaknya ingin mendapatkan tanah Terengganu dengan alasan membantu membangunkan dan memajukan negeri Terengganu. Dengan kata lain, dalam rundingan itu seolah-olahnya British hendak membantu memajukan Terengganu. Negeri Terengganu ketika itu berpenduduk sekitar 10,000 orang, kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, tukang dan petani. Mereka diakui oleh Clifford sebagai "orang Melayu yang paling pandai dan paling rajin di Semenanjung Tanah Melayu".

Tokku Paloh mempunyai pandangan yang jauh dan dapat membaca niat jahat wakil British yang mahu menguasai negeri Terengganu dan seterusnya menjajah.

Lalu dengan selamba Tokku menjawab segala kehendak wakil British itu dengan penuh sindiran tanpa sedikit pun terpengaruh dengan 'gula-gula' yang diumpan oleh orang-orang putih itu. Dalam perternuan inilah berlakunya kerusi yang diduduki oleh wakil-wakil British itu melekat seketika di punggung mereka seperti telah diceritakan pada awal tulisan ini.

Wakil-wakil British itu pulang dari rumah Tokku Paloh dengan hati yang berang bercampur takut akan kelebihan yang ada pada Tokku Paloh. Mereka gagal sama sekali untuk menguasai Terengganu menerusi diplomasi.

Tidak berapa lama selepas itu, beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.

Orang rarnai menjadi gempar dan cemas, dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh bersama orang-orang kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh lbrahim dan Tuk Kelam dan pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan ini berjalan siang dan malam.

Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau, dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan, angkatan perang British itu nampak 'beribu-ribu' pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari.

Demikian kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada firman Allah SWT bermaksud:

"Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh". (Al-Anbia: 105)

Beliau juga berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan taqwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan...

Pahlawan Melayu yg berguru dgn Tokku Paloh

Gambar tok Janggut
Alfatihah buat semua pejuang melayu Islam di seluruh Nusantara


Di antara anak murid dan pengikut Tokku Paloh yang terkenal ialah Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Mat Shafie Losong, Tuk Kelam, Tuk Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Haji Wan Embong Paloh, Haji Abdullah Chik Fatani, Tuk Gajah, Selain menjadi guru kepada anak-anaknya sendiri seperti Sayid Abu Bakar (Tokku Tuan Embong), Sayid Akil (Engku Sri Wijaya) dan Sayid Sagof (Engku Kelana). Dimana kesemua mereka diakui sebagai ulama

Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181).

Dari hari ke hari, anak-anak murid dan pengikut Tokku Paloh semakin ramai. Mereka datang dari merata tempat. Paling ramai ialah orang-orang Pahang yang kebanyakan mereka adalah pahlawan-pahlawan yang menentang British. Di Paloh, mereka dilindungi di bawah pentadbiran yang adil, makmur, tegas berdasarkan hukum Allah SWT dan tidak bertolak-ansur dengan pihak British.

Diriwayatkan bahawa antara murid Tok Ku Paloh. yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.Katanya:

“Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Tokku Paloh menyemai semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau menentang penjajah British di Pahang



imej Hugh Clifford


Ini terbukti dengan keputusan berani Tokku Paloh memberi perlindungan kepada pahlawan-pahlawan Pahang sekitar tahun 1894 dan keengganannya bekerjasama dengan pihak British. Pendirian beliau ini mempengaruhi sikap Sultan Zainal Abidin (kebetulan menantu kepada Sultan Ahmad Pahang) untuk terus-menerus menentang pertapakan British di Terengganu.

Penglibatan Tokku Paloh dalam perjuangan menentang campurtangan British di Pahang berlaku apabila pahlawan-pahlawan Pahang yang memberontak terpaksa berundur akibat tekanan hebat daripada pihak berkuasa. Mereka yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tuk Gajah dan anaknya Mat Kilau berada dalam keadaan serba salah dan hampir-hampir putus asa.

Akhirnya pada bulan Mei 1894, mereka membuat keputusan menghubungi Tokku Paloh. Ternyata hubungan ini memberi nafas dan tenaga baru kepada perjuangan mereka kerana Tokku Paloh bukan saja bersimpati malah bersedia membantu pahlawan-pahlawan itu menentang pencerobohan British di Pahang. Selama berada di Paloh, pahlawan-pahlawan yang terkenal hebat itu menggunakan sepenuh kesempatan menuntut ilmu agama dan mendalami perjalanan rohani sebagai bekalan dalam perjuangan yang amat sukar itu. Mereka berguru dengan Tokku Paloh.

Kemudian baru Tokku Paloh menyeru pahlawan-pahlawan itu supaya melancarkan perang jihad. Sebagai bekalan rohani, beliau memberi mereka wirid-wirid dan jampi-jampi tertentu dan menghadiahkan mereka pedang yang bertulis ayat-ayat Al-Quran pada matanya. Dan dengan sokongan dan pengaruh Tokku Paloh, pasukan pahlawan itu semakin besar dan mendapat sokongan sultan dan rakyat Terengganu untuk melancarkan serangan tahap kedua berdasarkan kecintaan kepada agama dan tanahair dengan semboyan 'perang jihad'. Semangat perang jihad begitu ketara sekali di kalangan para pejuang itu.

Ketika inilah, Hugh Clifford, Residen British di Pahang, menyedari bahayanya pahlawan-pahlawan itu berada di negeri jiran kerana mendapat sokongan Tokku Paloh untuk melancarkan serangan baru dengan kekuatan agama. Demi menjaga kepentingan British di Pahang, pada bulan April 1895 Clifford mengetuai satu angkatan serarnai 250 orang untuk melumpuhkan kekuatan pihak yang disifatkannya sebagai pemberontak-pemberontak.

Sesampai di Terengganu, Clifford mengadap Sultan Zainal Abidin untuk mendapat kerjasama baginda. Sultan Zainal Abidin dengan senang hati mengeluarkan surat kuasa (waran) kepada Clifford untuk menangkap sesiapa saja daripada kalangan rakyat baginda yang bersubahat dengan pernberontak-pemberontak. Tetapi surat itu tidak memberi kuasa untuk menyiasat kerabat diraja, keluarga Sayid serta pembesar-pembesar baginda.

Baginda juga mengeluarkan satu surat sulit kepada orang-orang Besut supaya membantu pahlawan-pahlawan Pahang yang bersembunyi di daerah itu. Taktik diplomasi yang bijak itu menyelamatkan semua pejuang Pahang dan mengecewakan usaha ketua penjajah Pahang bernama Clifford itu. Clifford sentiasa curiga terhadap Tokku Paloh kerana dalam beberapa perundingan yang diadakan dengannya, pernimpin British itu percaya Tokku Paloh tidak berkata yang sebenarnya mengenai pemberontak-pemberontak.

Kadangkala wakil-wakil British itu dipersendakan oleh Tokku Paloh. Menurut cerita Syed Omar Abdul Kadir Al-Aidrus (cucu Tokku Paloh) kepada penulis, dalam satu pertemuan antara Tokku Paloh dan Clifford terjadi antara lain dialog seperti berikut:

Clifford:
Saya datang mahu mendapat kerjasama Tokku untuk menangkap pemberontak-pemberontak dari Pahang yang berada dalam negeri Terengganu.

Tokku Paloh:
Siapa yang dimaksudkan? Kerana kami orang Islam tidak boleh menyimpan pemberontak dan penjahat-penjahat. Kalau ada penjahat tentu kami sudah tangkap dan mengenakan hukuman berdasarkan hukum Islam

Clifford:
Itu, Datuk Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau dan pengikut-pengikut mereka melakukan banyak kacau dalam negeri Pahang. Sekarang mereka lari ke negeri ini.

Tokku Paloh:
Orang-orang itu semua baik-baik, bukan pengacau, bukan pemberontak kerana mereka menuntut pembebasan daripada campurtangan kuasa luar dalam negeri mereka, dan sebagai orang-orang Islam mereka mesti menuntut hak itu.


Sebagai satu helah, Tokku Paloh membenarkan juga angkatan Clifford itu menyiasat di Paloh sama ada benar pahlawan-pahlawan Pahang itu bersembunyi di sana (ketika itu semua mereka sudah bersembunyi di tempat-tempat selamat).

Clifford masih tidak berpuas hati kerana pasukannya gagal menemui 'pemberontak-pemberontak' itu. Dia percaya mereka ada bersembunyi di kawasan rumah Tokku Paloh. Ini berdasarkan beberapa bukti yang dia sendiri perolehi semasa siasatan dibuat. Tetapi dia dan pasukannya tidak berdaya berbuat apa-apa walaupun berkali-kali berunding dengan Tokku Paloh. Sebab itu bagi Clifford, penghalang besar kepada usahanya untuk menangkap pahlawan-pahlawan Pahang itu ialah Tokku Paloh sendiri.

Malah usaha terakhir Clifford meminta jasa baik Sultan supaya memaksa Tokku Paloh menyerahkan mereka itu juga gagal. Ini membuatkan dia sedar pengaruh Tokku Paloh begitu besar sekali di istana. Akhirnya Clifford mengambil keputusan meninggalkan Terengganu pada 17 Jun 1895.

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana.

Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Warisan keluarga Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III



Al-Aalimul Al-Allamah Dato Al-Habib Umar Bin Abdul Qadir Al-Idrus Bersama Tuanku Mizan

Dato Syed Omar Bin Abdul Kadir Al Idrus
(Cucu Tokku Paloh 1942- Sekarang)

Syed Omar bin Abdul Kadir adalah seorang dari cucu Tokku Paloh yang mewarisi dalam urusan ilmu agama dan banyak mengajar ilmu-ilmu agama di madrasah dipelusok negeri.Beliau juga mengikuti jejak langkah datok dan bapa saudaranya berhubung rapat dengan pehak istana.