Sabtu, 14 Januari 2012

Zon 3 : Rukuk, Sujud, Duduk antara Dua Sujud


RUKU’ dan IKTIDAL

Ruku’ adalah satu protokol Tuhan dalam sembahyang. Jika mahu dihuraikan dengan mendalam ilmu bab ruku’ ini boleh mengambil masa berjam-jam. Ruku’ itu adalah tanda penyerahan, tunduk…Setelah Tuhan tawarkan SIRATHOL MUSTAQIM dalam Al Fatihah tadi, setelah Tuhan tawarkan agar kita tidak mahu termasuk dalam golongan FASIK dan KAFIR, maka jika kita mahu bersungguh-sungguh ke arah itu, maka tunduklah

dialog hati ruku dan seterusnya

Mi'raj ini dilanjutkan lagi.
Mengembara bersama-Mu Tuhan, sungguh indah. Penuh cinta, rindu, bujukan, belaian, kasih sayang dan segala macam harapan-harapan. Engkau buatkan aku tenggelam dalam cinta-Mu yang agung. Engkau buatkan air mataku, melimpah-limpah bersama rasa terharu dan sangat terhutang budi.

Rukuk ini ialah kerelaanku terhadap apa sahaja perintah dan laranganMu, Tuhan.
Masakan aku degil lagi sedangkan Engkau Maha Suci dari bermaksud tidak baik padaku.
Lagipun Dikau kan Maha Besar, Maha Tinggi dengan segala-gala Kebesaran, Ketinggian dan Kepujiannya.

Cukuplah keyakinan pada-Mu ini untuk membuang segala kesombonganku terhadap kehendak-kehendakMu.

Kemudian Engkau dudukkan aku di antara dua sujud
yakni sesudah aku amat hairan dengan-Mu tika sujudku.
Karena rupanya aku mempunyai Tuhan yang sangat memerintahkan agar aku serahkan segala urusan hidupku
hanya pada-Nya dan tidak pada yang lain.


DUDUK ANTARA DUA SUJUD.

Di sini, di pemisahan antara dua sujud adalah saat paling indah dan baru buatku.
Masakan tidak wahai Cinta Agungku, Kau senaraikan seluruh keperluan-keperluan harian yang amat aku perlukan untuk meneruskan hidup dan menyuruh aku memintanya berulang-ulang kepada-Mu. Lalu aku membisikkan begini :

"Ya Tuhan, ampunilah hamba,
kasihanilah hamba,
tampungkanlah kekurangan hamba,
angkatkanlah darjat hamba,
rezekikanlah hamba,
hidayahkanlah hamba,
sihatkanlah hamba dan
maafkanlah sahaja hamba-Mu ini."

Mana ada yang Maha sebaik ini kepadaku sekali pun ibu dan bapa kandungku sendiri, ya Allah. Tidak ada manusia yang sanggup memanggil aku datang kepadanya agar meminta-minta itu dan ini, sekalipun sebaik-baik manusia.

Ya Allah, agungnya cinta dari-Mu.
Kerana bukan sahaja mengajarkan permintaan untuk dimohon kepada-Nya, bahkan yang tidak kupinta pun mencurah-curah nikmat yang dikurniakan.


SUJUD

Hati mana yang tidak hancur oleh cinta yang sebesar ini?
Mata mana yang tidak mengalirkan air bila mendapat perhatian dan kasih selembut ini.
Oh Tuhanku…!

Ini aku sungkurkan diri kepadaMu, menyerah seluruh taat setia pada-Mu. Tolong jangan tinggalkanku. Dan bawalah hati ini untuk sentiasa mengingati KebesaranMu.

Zon 4 : Tahiyat




Akhirnya pertemuan ini Tuhanku, terasa hatiku bagaikan dibawa ke Sidratul Muntaha.
Di sana, setelah kusembahkan seluruh salam-salam keberkatan dan doa-doa yang Kau ajarkan, lalu Kau kenalkan aku pada kekasih-Mu, Rasulullah SAW. Yang kerananyalah maka aku sampai terbawa ke sini, ke sisi-Mu.

Dapatlah aku mengucapkan salam pada manusia yang paling berjasa itu. Bahkan terasa ada jawapan salam dari baginda. Kau Tuhan... mengajarkan aku mengagih-agihkan cinta pada para kekasih-Mu yakni dengan Kau bisikkan begini :

"Wahai hamba-Ku, tidak cukup kalau kau hanya mempunyai Aku.
Bersama kita ada saudara-saudaramu sehati sejiwa.
Mereka juga buah-buah hati-Ku.
Mereka sangat berusaha agar manusia merasakan cinta Tuhan.
Kita tidak terhubung pun kalau tidak hasil perjuangan mereka.
Kalau begitu doakanlah mereka.
Yakni sesudah engkau mendoakan dirimu
-Sepanjang mikraj ini dapat benar-benar menyaksikan kebenaran-Ku."

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW Pesuruh Allah

Aku minta pada-Mu, selamat sejahterakanlah
Sayidina Nabi Muhammad SAW dan keluarganya
sepertimana dilakukan kepada bapaku Nabi Ibrahim dan keluarganya.
Ku pinta lagi Tuhan, berkatilah kekasih Junjungan Sayidina Muhammad
dan keluarganya sepertimana diberkatinya Nabi Ibrahim
serta isreri-isteri mereka dan anak-anak semuanya.

Sungguh wahai Tuhan, mikraj ini memperlihatkan padaku
bahawa di atas ciptaan alam ini seluruhnya,
hanya Tuhanlah yang layak untuk dikatakan Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
Maka dengan itu aku kembalilah ke dunia semula,
bertemu dengan sekalian ciptaan kesayanganku,
adik-beradikku, saudara-maraku di kalangan manusia,
malaikat, roh-roh muqaddasah, jin-jin Muslim
dan lain-lainnya dengan doa.

Assalamualaikum w.r.m.t.
Moga-moga semuanya dalam keadaan selamat.


SELESAI SOLAT

Selesai sudah kembara mencari kebenaran. Kembalilah kita bersama rasa takut dan cinta kepada Tuhan. Pulang membawa perpaduan dan kemenangan.

Sembahyang membuatkan kita takut kepada Allah. Juga cinta yang mendalam kepada-Nya. Dengan taqwa itu, nafsu dapat dilembutkan. Besar diri dapat dicabut dari hati kita.

Cinta pada Tuhan mencairkan rasa-rasa tamak, hasad dan gila dunia. Kita akan balik berkasih sayang dengan sesama manusia. Rukuk dan sujud umpama pil-pil yang mengubat sakit degil, keras kepala dan mementingkan diri. Kita jadi patuh, rendah diri dan bertolak ansur.

Rasa hina diri dan rasa hamba yang diperolehi dari Tuhan akan mengajar kita bagaimana untuk bersabar, redha dan mengalah sahaja dengan orang lain. Lalu jadilah rukun-rukun sembahyang ini sebagai modal besar untuk dapatkan perpaduan.

Manakala TAQWA, PERPADUAN DAN KESELARASAN itu pula adalah rahsia kejayaan mukmin mendapatkan kemenangan di dua empayar dunia dan Akhirat.



TAMAT...

link
Heliconia's Weblog @ Malaysia

Sembahyang Sumber Taqwa


Baginda RasulAllah SAW adalah orang yang hatinya sentiasa bergantung kepada Allah SWT, serta tekun berkomunikasi pada setiap detik dan saat, hal ini dilakukan sebelum kenabiannya hingga akhir hayatnya.

An Aisyata r.anha.. kaana RasulAllah SAW..Yadzkurullah kulla ahyanihi

dari Aisyah,
sesungguhnya RasulAllah SAW sentiasa berdzikir kepada Allah sepanjang hidupnya..
( HR Muslim ).

Dan peristiwa perjalanan Isra' dan Mi'raj merupakan puncak dzikir beliau..kerana dzikir bererti berjumpa secara sempurna dan hal ini telah di lakukan oleh Baginda RasulAllah SAW ketika beliau mi'raj dan kepada ummatnya, Beliau telah memberi pengajaran iaitu memperolehi jalan yang termudah dalam mengikuti jejak Beliau dalam pertemuan langsung dengan Allah SWT iaitu dengan Solat! sebagaimana Hadith RasulAllah SAW

" Ash shalatu mi'rajul mukminin..
solat adalah mi'raj bagi mukmin ".

Dan disebutkan bahawa solat merupakan jalan dzikir yang tinggi...
FirmanNya dalam Surah Thaha :14,

" WA AQHIMISH SHOLATA LI DZKIRII"
dan dirikanlah solat untuk mengingati AKU ".

pastinya sudah tentu ada rahsia di dalam solat..cari, gali dan kaji supaya tidak menjadi seperti Sabda Baginda RasulAllah SAW,

" Banyak orang yang mendirikan solat, sementara ia hanya mendapatkan rasa penat dan payah."
( HR. Abu Dawud ).


Demi CintaMu Ya Allah pada Muhammad Nabi Mu
ampunilah dosaku wujudkanlah harapanku

wallahu'alam.



Sembahyang Sumber Taqwa


Bismillahirrahmanirrahim

Perhubunganku yang paling besar dengan Mu adalah
melalui sembahyang,
Kalau melalui sembahyang tidak juga terhubung
diantaraku dengan-Mu Tuhan,
Perhubungan apa lagi yang dapat aku buat?
Perhubungan lain sudah tentu lebih sulit lagi,
Sembahyang adalah saluran terbesar buat seorang hamba
dengan Tuhannya,

Tuhan! Betulkan sembahyangku agar ia menjadi
penghubung dengan-Mu,
Janganlah jadikan sembahyangku
tidak boleh terhubung aku dengan-Mu,
Kasihanilah aku Tuhan,
Aku tidak mahu terputus hubunganku dengan-Mu,
Sembahyang adalah satu-satunya alat perhubungan Engkau
denganku,

Sembahyang sungguh agung,
Ia perhubungan seorang hamba dengan Tuhannya,
Dapat membuat perhubungan dengan Tuhan
adalah perkara besar dan agung,
Kalau benar-benarlah sembahyang terhubung seorang
hamba dengan Tuhannya,
Hamba itu akan menjadi peribadi yang agung pula,
Iaitu dia akan menjadi peribadi yang bertaqwa,
Orang yang bertaqwa dianggap mulia disisi Tuhan,
Dia akan mendapat rahmat dari Tuhan,
Salah satu rahmat dari-Nya adalah redha-Nya,
Selain itu Tuhanlah menjamin dunia akhirat,
Dosa-dosa diampunkan atau ditingkat darjat,
Diberi rezeki tidak tahu mana sumber atau tidak diduga,
Betulkanlah sembahyang, ia merupakan sumber taqwa.


Nukilan Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
15.05.2005
Lepas Dhuha

Ahad, 8 Januari 2012

BUATLAH IBADAH KERANA ALLAH


Umpama seorang yang kita cukup kenal, katakanlah dia itu kekasih kita. Dia buat baik kepada kita, buat suruhan kita, bukan kerana sayang kepada kita, bukan kerana cinta kita, tetapi dia ada target lain. Dia nakkan duit kita rupanya. Dia nakkan kereta kita. Jadi dia bukanlah nakkan kita, atau benar-benar cintakan kita. Tetapi dia hanya nakkan harta atau milik kita itu seperti duit dan kereta.

Bayangkan, apakah orang seperti itu yang kita mahu jadikan kekasih kita ?

Realitinya ramai di antara kita memperlakukan begitu dengan Tuhan. Ramai di antara kita buat ibadah bukan kerana Tuhan. Tetapi kerana makhluk Tuhan atau ciptaan Tuhan seperti syurga atau pahala.

Padahal apa ada pada syurga atau pahala ?
Ia sekadar ciptaan Tuhan. Ciptaan Tuhan itu makhluklah namanya. Jadi, kita buat ibadah sebenarnya untuk apa?

Bukankah ibadah itu sepatutnya dilakukan kerana Tuhan?
Kita lakukan kerana kita benar-benar kasih dan sayangkan Tuhan. Kita buat untuk mendapatkan cinta Tuhan. Atau dalam ertikata lain nak dapatkan Tuhan itu sendiri.

Oleh itu, tujulah kepada Tuhan, bukan ciptaan Tuhan. Kalau kita tuju kepada syurga atau pahala, itu menunjukkan kita tak hiraukan Tuhan, tetapi lebih berminat kepada ciptaanNya. Bayangkan apa kata Tuhan, seolah-olah Tuhan akan berkata,

“kau nakkan ciptaanKu, Aku boleh bagi, tapi kau takkan dapat Aku, kasih sayang Aku.”

Mana yang kita nak? Mana lebih besar? Ciptaan Tuhan berupa syurga dan pahala, atau Tuhan itu sendiri?

Biarlah soal ganjaran itu Allah yang tentukan. Bahkan kalau kita dah dapat Tuhan, insyaAllah, kita akan dapat segala-galanya. Dia akan bagi sesuai dengan sifat Maha Pemurah dan Penyayangnya.

Selama ini pun di dunia, Dia beri juga. Dalam kita buat dosa, dalam kita tak hirau Dia, masih Dia beri juga macam-macam kepada kita. Lebih-lebih lagilah kalau kita sudah dapatkan Dia.

Jadi, marilah kita dapatkan Tuhan.
Apa sahaja yang kita buat ini, baik ibadah fardhu mahupun sunat, buatlah kerana Tuhan. Buatlah untuk mendapat keredhaan, keampunan dan kasih sayangNya. Kerana itulah yang sebenarnya kita harap-harapkan. Tidak ada yang lebih besar di dunia dan akhirat melainkan keredhaan, keampunan dan kasih sayang Tuhan.

Namun, sudah barang tentu ini semua tidak dapat dilakukan kecuali kita memang benar-benar mengenali Tuhan kita. Asasnya ialah dengan mengenali Tuhan. Bila sudah kenal, tercetuslah rasa kasih dan sayang kita kepada Tuhan. Inilah yang sepatutnya ada pada diri kita. Rasa kasih dan sayang pada Tuhan inilah yang akan membuatkan kita beribadah semata-mata kerana Tuhan. Dan bukan kerana hal-hal lain yang merosakkan hubungan kita dengan Tuhan.

Sekian.


Sudahkah Kita Menyiapkan Pembela Untuk Membela Kita Selepas Kita Mati

Manusia hidup di dunia berbagai-bagai keadaannya, tidak sama,
Ada yang miskin, kaya, pandai, bodoh, yang cacat dan sempurna,
Ada yang berkuasa, ada pengikut, ada yang berpengaruh,
ada yang menjadi raja, ada yang berkawan, ada yang seorang diri sahaja,
Ada yang terkenal, ada nama, ada yang tidak tahu tentang dirinya,

Kalau mereka tidak takutkan Tuhan, tidak takut hari pembalasan,
Mereka akan melahirkan sikap mengikut keadaan dan suasana kehidupannya,

Ada yang megah, ada yang sombong, ada yang terhina,
Ada yang kecewa, ada yang putus asa, ada yang berbagai-bagai lagi sikap
Mengikutlah keadaan dan situasi diri dan status diri,

Tapi semuanya itu akan bersendiri apabila mati,
Sekalipun raja yang ada pengawalnya,
Sekalipun berkuasa, orang takut dengannya, namun didalam kubur seorang diri,

Yang ramai pengikut dan kawan,
Namun tidak ada yang ikut didalam kuburnya,
Masing-masing seorang diri tanpa kawan,
Sekalipun orang yang disayangi,

Orang yang tidak ada kawan didalam kubur tidak adalah pembelanya,
Oleh itu carilah kawan dimasa hidupnya sebagai pembela selepas mati,
Pembela itu ialah iman, taqwa, amal soleh
Dan kebaikan yang kita buat didunia,

Tawadhuk kita, pemurah kita, kasih sayang kita, tolak ansur kita,
Simpati kita dengan orang yang susah, mujahadah kita, jihad kita,
Nafsu kita yang ditundukkan kepada Tuhan,

Sudahkah kita menyiapkan pembela kita dimasa hidup
untuk membela kita selepas mati kita?
Dimasa itu harta dan anak tidak memberi apa-apa manafaat kepada kita,
Kecuali yang membawa hati yang selamat daripada syirik dan mazmumah.

Nukilan:Ust Hj Ashaari Muhammad
14-05-05
Menjelang Maghrib

Betulkah Ibadah itu agama? (bhg 1)


Bismillahir rahmanir rahim

Terima kasih Tuhan kerana Engkau telah menganugerahkan kepada kami peluang untuk berkongsi ilmu. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW kerananyalah rezeki ini kita perolehi. Oleh itu marilah kita banyak bersyukur kepada Tuhan dan banyakkan selawat kepada Nabi SAW moga kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan seterusnya.

Saya ini sudah 67 tahun umur. Orang tertua di kalangan kita. Katalah 60 tahun dulu saya sudah faham apa erti agama, apa itu kebenaran, setidak-tidaknya sudah dengar. Kalau saudara saudari mungkin 30 atau 40 tahun dulu tetapi saya agak lama. Katalah 7 tahun terbuang begitu saja, kita ambil 60 tahun.

Waktu itu terbayang oleh saya kalau ada orang bekata,

''Dia itu kuat beragama, dia itu baik orangnya, dia itu bagus orangnya'',
apa terbayang oleh saya?

Dia sembahyang, puasa, kalau ada duit mungkin pergi haji, hari jumaat pergi masjid. Sekali-sekala sembahyang jemaah, mungkin sekali sekala kita dengar dia berzikir dan baca Quran. Itulah saya terbayangkan.

Saya tak terfikir waktu itu kalau orang kata polan itu beragama, tak tergambar dia pejuang, berakhlak baik, selalu memperhatikan jirannya, tanya-tanya adakah makanan pada jirannya, kalau tak ada diberinya. Tak terfikir oleh saya, orang itu membayarkan hutang orang, sebab saya tak terfikir itu agama.

Memaafkan, tolong orang. Kalau saya, duduk di kampung tentulah cara kampung, pergi bendang tolong orang buat bendang. Tak terfikir.

Yang terfikir bila dikata beragama sembahyang, puasa, naik haji, pergi masjid sekali sekala sembahyang jemaah. Masa itu tak faham apa erti taqwa.

Itulah gambaran 60 tahun dulu dan sebelumnya sebab Islam sudah rosak 700 tahun dulu. Sejak 700 tahun bila dikatakan orang beragama dia itu perjuang Islam tak adalah. Fikir dan tolong jiran tak ada.

Sekarang nak bahas bila dikatakan agama itu hanya ibadah sahaja. Kalau yang ibadah sahaja sudah betul-betul diagamakan itu dah cukup baik. Sebab, orang masa itu tak terfikir beragama itu ialah berjuang dan berjuang itu di anggap ibadah, itu tak terfikir. Pergi jala ikan dapat ikan bagi jiran itu tak dianggap agama, saya buat contoh sesuai dengan alam saya di Pilin 60 tahun lalu.

Kalau ibadah itu sahaja agama, maka kita lupakan aspek-aspek lain.
Betulkah ibadah itu agama seperti yang dimaksudkan?

Kita anggap, ibadah yang dibuat orang-orang 60 tahun dulu itulah yang dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat sampai dapat syahid. Sahabat-sahabat sampai ke negeri Cina, samakah ibadah yang dibuat sekarang dengan mereka buat ?

Marilah kita kaji.
Betulkah ibadah itu agama ?
Betulkah ibadah itu Islam ?

Ibadah itu apa?
Itu tugas. Bila dikatakan ibadah, ta'abbud. Itu sifat orang. Ada yang lahir dan ada yang batin. Orangnya, hamba. Sebab itu Tuhan katakan

''tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku''.

Rupanya kita beribadah itu sebab kita hamba Tuhan. Hamba Tuhan mesti memperhambakan diri kepada Tuhan. Sebab kita hamba Tuhan



Ibadah Kerana Fadhilat

Biasanya orang yang membuat amal ibadah kerana mengejar fadhilat banyak ibadahnya
Tapi rasa bertuhan sudah tiada
Dari ibadahnya tidak lagi lahir rasa kehambaannya
Dia membuat amal ibadah bukan kerana cinta dengan Tuhan atau takut
Tapi cinta dengan fadhilat atau takut tidak dapat fadhilat
Biasanya golongan ini rasa takut atau cinta dengan Tuhan sudah tiada
Kalaupun banyak amal ibadah tapi tidak berubah perangai
Mazmumahnya sama naik dengan amal ibadahnya
Cintakan dunia sama berlumba dengan ibadahnya
Ibadah pun banyak cinta dunia pun banyak
Amal ibadah pun bertambah cintakan dunia pun bertambah
Golongan yang mengejar fadhilat ini selalunya rasa aman dengan Tuhan
Merasa tenang dengan amal ibadah
Itulah orang yang beramal ibadah derhaka dalam taat
Membuat dosa atau derhaka tapi tidak sedar berlakunya kederhakaan itu
Mereka itu tertipu dengan amal ibadahnya yang banyak
Tapi rasa bertuhan tidak ada
Tapi rasa kehambaan sudah hilang
Sedangkan rasa bertuhan itu adalah wajib
Merasa kehambaan itu adalah diperintah
Beramal ibadah dengan tujuan untuk memperdalamkan rasa bertuhan dan kehambaan
Kalau beramal ibadah sudah tidak rasa bertuhan dan tidak rasa kehambaan
Fungsi dan peranan ibadah itu sudah tersalah
Maka tidak ada nilai lagi di sisi Allah SWT

Ampun maaf

Betulkah Ibadah itu agama? (bhg 2)


....sambungan...

Rasa hamba itu apa?
Rupanya agama itu kita kata Ibadah, itu dari Tuhan. Jadi Tuhan ajar manusia nak hambakan diri kepada Tuhan itu macammana, Tuhan tunjuk jalan supaya nak hambakan diri pada Tuhan.

Buat masing-masing sebab rasa kehambaan itu fitrah (natural instinct). Jadi kalau nak dikembalikan kepada fitrah itu, dia sembah-sembah agak-agak, rasa hamba sudah ada, Tuhan dia sudah yakin. Macam mana nak besarkan Tuhan...

oleh kerana dia tak dapat jalan dari Tuhan dia ikut rasa sendiri. Niatnya baik tapi cara tak baik, ibadah direka-reka. Sebab itu Tuhan faham, bila hamba, Tuhan masukkan ke dalam hati mereka rasa kehambaan itu fitrah, supaya jangan direka-reka, kalau nak sembah Aku begini, begini, begini, begini begini. Jadi bagi orang yang dapat petunjuk dari Tuhan, setidak-tidaknya ibadah lahirnya betul.

Tetapi Tuhan sebenarnya tak nak yang lahir,
yang lahir itu dibuat hanya untuk guide yang dalam.

Tetapi setidak-tidaknya kalau tak dapat yang batin, yang lahir ikut sama ada bacaan, perbuatan sudah betul. Kalau itu yang dikatakan ibadah belum jadi lagi. Itu sebagai satu simbol atau isyarat bagi yang dalam.

Sebab kalau kita buat contoh dengan selain Tuhan, supaya orang itu boleh teringat seseorang atas dasar kehebatannya, peranannya, istimewanya, kena sebut orang itu, bila sebut nampak macam-macam, kalau tak diingatkan tak nampak. Ibadah lahir setakat itu sahaja.

Katalah kita ada raja, takkan setiap hari kita ingat raja, mungkin setahun sekali waktu nak sambut harijadi dia, orangpun sebut, kerajaan sebut, kenapa sebut ?

Bukan atas dasar sebut itu saja !

Itu sebenarnya nak mengingati ada benda lain yang patut dia sedar. Katalah Raja Selangor, menyebut sifat lahirnya supaya dapat teringat padanya, tetapi kalau setakat itu sahaja, tak nampak benda-benda lain, sebab itu perlu ingat dulu, lepas itu baru geledah. Macam kita ingat seorang perempuan, kita hayati, ingat sahaja dia, menggeledah. Matanya nampak, telinganya nampak, senyumnya nampak. Jadi bermula dari teringat itu baru mula menggeledah. Kalau saya tak buat tamsil macam ini mungkin tak senang untuk faham ibadah. Ini contoh.

Kalau begitu, rupanya
nak abdikan diri pada Tuhan,
nak rasakan apa yang ada pada Tuhan,

saya buat misal raja, kalau kita kenal raja setakat dia itu kaya, tinggi orangnya, pemarah orangnya. Had itu sahaja. Bila sebut Raja Selangor, nampak tiga sifatnya Walaupun nampak tiga, sebab tiga benda itu ada padanya. Tapi kalau sebut Raja Selangor tak nampak yang tiga, tak kenal , tak betul. Bila sebut saja nampak yang tiga itu, itu betul.

Jadi kita disuruh ibadah dengan Tuhan untuk menghadirkan diri kepada Tuhan nak merasa apa yang ada pada Tuhan.

Kalau kita beribadah pada Tuhan kita sebut Tuhan ingat Tuhan,
sebut Allah teringat ada Allah. Had itu sahaja dia tak terasa apa yang ada pada Tuhan,
itu bukan ibadah, itu bukan ta'abud.

Jadi ibadah yang dimaksudkan liya'buduun. Seolah-olah Tuhan berkata begini

''tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah pada Aku''

iaitu engkau merasa apa yang ada pada-Ku. Kalau Aku berkuasa engkau terasa Aku berkuasa, kalau Aku itu hebat, engkau terasa Aku hebat, kalau teringat sahaja Aku, Aku itu agung, maka terasa keagungan-Ku, kalau ''Aku menentukan nasib kamu'',
sebut sahaja Tuhan engkau terasa Aku Tuhan yang menentukan nasib engkau. Sebut sahaja nama Aku rasa akan Aku menghidupkan, mematikan, nasib engkau Aku yang tentukan.

Sebut sahaja nama Tuhan, terasa kun fayakun, bila sebut mati ''Mati'', mati. Bila sebut ''Hidup'', hidup. Bila sebut ''Binasa'', binasa. Kalau Tuhan kata ''Gunung runtuh'', runtuh. Bila sebut ''Dunia kiamat'', kiamat. Aku nak engkau rasa itu.

Jadi kalau ibadah, sembahyang, puasa, baca Quran, berwirid, tak terasa apa yang ada pada Tuhan, itu bukan ibadah, rasa kehambaan tak ada, rasa Kuasa Tuhan itu tak ada.

Ampun maaf


Mengenal Tuhan Dengan Hati

Dengan akal sahaja seseorang itu tidak akan kenal Tuhannya
Kekuatan akal hanya sekadar tahu
Yang mengenal itu adalah hati
Lantaran itulah ramai ahli fikir tidak mengenal Tuhan, hanya sekadar tahu
Bahkan ada di kalangan mereka yang tidak percaya wujudnya Tuhan
Hati atau jiwa itulah hakikat diri
Kalau hati atau jiwa tidak mati atau buta
Ia mampu mengenal Tuhan secara hakiki
Bahkan rasa bertuhan sentiasa hidup di dalam jiwa
Rasa itu akan dibawa ke mana-mana
Kerana itulah hati dikatakan raja di dalam diri
Akal hanya sekadar penasihat sahaja
Raja sudah tentulah orang yang paling cerdik
Kerana itulah ia mampu mengenal Tuhannya
Kecuali hati atau jiwa telah mati atau buta
Dibutakan atau dimatikan oleh akalnya sendiri
Makin cerdik akal, makin cepat buta atau mati jiwanya
Jika mengabaikan hati atau jiwa
Akal hanya menyuluh tapi hati atau jiwa menentukan
Akal hanya memberi panduan tapi hati meyakinkan
Kerana itulah semua anggota badan biar berfungsi
Dia akan menguatkan satu sama lain
Jangan hanya akal sahaja berfungsi, hati atau jiwa diabaikan

Menjelang tidur
25.11.99

Betulkah Ibadah itu agama? (bhg 3)


....sambungan...

Bismillahir rahmanir rahim

Kalau begitu yang dimaksudkan ibadah dengan sembahyang sahaja meniti di atas makna untuk membantu meneroka di dalam,

sebab itu bacaan-bacaan dalam ibadah sembahyang itu kena faham, sebab itu membantu meneroka ke dalam. Kalau wirid, zikir, sembahyang, puasa tak faham makna, macam mana nak meniliti lebih dalam lagi.

Kalau begitu apa yang kita nampak selama ini bila dikatakan orang itu baik beragama, sembahyang, baca Quran, baca Yasin, naik haji dah tak sesuai dengan konsep ibadah.

Jadi ibadah yang masih ada pada orang Islam itu yang dimaksud agama jadi sudah bukan agama. Kalau itu jadi ibadah boleh tahan, ertinya asas Islam masih ada. Tapi kalau dikatakan agama itu ibadah sudah tidak jadi ibadah ertinya 700 tahun umat Islam mati tertipu ( ghurur) 3X yang selamat bilangan jari sahaja.

Kenapa?
Ibadah yang dikatakan agama itu pun konsepnya sudah berubah,
peranannya sudah berubah, ibadah tak jadi ibadah,
tak payah dihayati, makna pun tak tahu,

ini ajaib.

Ibadah yang sebenar itu nak rasa hamba,
nak rasa kebesaran yang ada pada Tuhan.
Kalau makna pun tak tahu itu bukan ibadah,
padahal tahu makna itu belum tahu lagi nak hayati.

Tahu makna boleh membantu untuk rasa,
kalau makna yang membantu untuk rasa itupun tak tahu
ertinya ibadah yang dikatakan agama itu tak jadi agama.

Betul tak kalau kita nak rasa nak buat ibadah 30 atau 40 tahun dulu, tak tahu makna tak apa yang penting hafal dulu. Kedua lebih-lebih lagi nak rasa kita beribadah apa yang ada pada Tuhan, kalau Tuhan itu hebat itu lagi tak ada. Kalau wirid zikir lagilah, sembahyang yang penting pun tak dicerita konsep sebenar yang lain lagi kecil.

Rupanya umat Islam yang masih beribadah kepada Tuhan pun masih tidak jadi ibadah.

Apa yang kita dengar bila ibadah kita nak minta sesuatu dari Tuhan. Tak terfikir aku beribadah Tuhan nak minta sesuatu dari aku. Kita faham sembahyang nak pahala, itu bukan ta'abud. Bila kita puasa minta fadhilat dari Tuhan.

Padahal kita beribadah, Tuhan nak sesuatu dari kita.
Konsep ibadah pun dah terseleweng.

Seolah Tuhan berkata begini
'' engkau sembahyang sembah Aku, Aku nak tagih janji engkau takut dengan Aku''.

Ini tak kita tagih fadhilat dari Tuhan, itu hak Tuhan mengapa nak tagih hak Tuhan padahal Tuhan nak dari kita sudahkah kita tunaikan ?

Saya buat contoh:
Katalah di kampung kita ada orang kaya, pemurah ataupun ada raja pemurah, orang besar yang pemurah setiap tahun atau setiap bulan dia beri hadiah. Dia beri itu ada syarat, orang kampung pun pergi nak ambil. Dia punya syarat siapa yang dapat buat begian-begian aku akan beri hadiah. Ada syarat. Orang kampung itu nak hadiah mesti tunaikan syarat. Kita nak hadiah kenapa tak tunaikan syarat? mengapa?

Jangan fikirkan hadiah, tapi fikirkan syaratnya.

Begitu juga Tuhan, nak dapat fadhilat bila kita dapat tunaikan syarat-syaratnya. Dengan kata lain Allah berkata,

'' Aku akan beri hadiah kepada kamu bilamana kamu bertaqwa atau tidak. Dari sembahyang dan ibadah, kamu jadi orang bertaqwa atau tidak?

Ada tuntutan Tuhan dari kita dahulu baru dapat. Kita nak dapat dari Tuhan kena fikir dari kita apa?

Begitu juga puasa di bulan Ramadhan bila dapat ditunaikan tuntutan kepada Tuhan, baru dapat hadiah. Dengan kata lain segala fadhilat Ramadhan, sembahyang, puasa, baca Quran, wirid zikir kalau bertaqwa atau tidak,

kalau bertaqwa jangan susah hati otomatik dapat.
Soalannya kamu bertaqwa atau tidak, kalau tak taqwa fadhilat pun tak dapat.
Pernahkah kita diajar begitu sebelum ini ? Selama ini kita belajar kalau buat ini dapat ini. Pernahkah kita diajar bila buat ibadah ini perasaannya begini, bila buat ibadah ini perasaannya begini.

Perasaan itulah taqwa, itulah ibadah, itulah rasa kehambaan, itulah rasa bertuhan.

Kalau rasa-rasa itu tak ada, fadhilat-fadhilat itu apa ertinya. Tak ada erti apa-apa. Macam seorang raja, lebih-lebih lagi raja sombong dengan kebesarannya, kalau rakyatnya berhadapan dengan dia, apa yang dia suka?

Kalau seorang datang dengan rasa takut raja suka.Kalau seorang datang dengan cekak pinggang kena halau. Buat kurang ajar depan raja. Begitu juga depan Tuhan, Raja segala raja lebih-lebih lagi.

Setelah kita bahas ibadah yang dikatakan agama itu, siapa beribadah dengan baik rupanya tak jadi ibadah. Pergi haji tak jadi ibadah, buat umrah tak jadi ibadah, tertipulah kita selama 700 tahun.

Jadi ibadah itu yang Tuhan mahu rasanya sesuai dengan kebesaran Tuhan apa yang ada pada Tuhan. Apa yang ada dia kena rasa, kalau Tuhan besar kena rasa kebesaran Tuhan. Kalau Tuhan beri rezeki terasa Tuhan beri rezeki, bila sihat terasa Tuhan yang beri sihat bukan doktor.

Nampaknya ibadah yang bersifat agama pun tak jadi ibadah. Kalau selama ini orang yang beribadah dianggap orang baik rupanya tak baik, orang jahat. Orang macam itu berjuta-juta mati sebenarnya dia orang jahat, beribadah tapi tidak beribadah (sebenar)
Ibadah itu biarlah buatnya sedikit tetapi terasa, biar sedikit tetapi menghayati.

Ampun maaf



Baikilah Ibadah

Bersungguh-sungguhlah beramal ibadah
Laksanakan secara istiqamah setiap masa
Kemudian koreksilah ibadah di mana kekurangannya
Kemudian lupakan sahaja

Bersungguh-sungguhlah meninggalkan dosa
Muhasabahlah diri setiap masa tentang dosa
Kemudian rasakan diri kita berdosa
Begitulah sifat seorang hamba

Pandang kecillah dengan ibadah kita
Kerana masuk ke Syurga itu dengan rahmat-Nya
Pandang besarlah dengan dosa kita
Agar kita takut membuatnya
Dan masuk ke Neraka dengan keadilan-Nya

Panjatkanlah doa selalu kepada-Nya
Pintalah taufiq dan hidayah dari-Nya
Kerana itulah jalan kepada-Nya
Kita hamba, haraplah selalu kepada-Nya
Dan baik sangka kepada-Nya

Nukilan:Ust Hj Ashaari Muhammad
19.11.98
Selepas Subuh