Memang mencari rezeki yang halal tidaklah salah.
Tetapi jangan menjual agama, mengorbankan hak ALLAH dan Rasul,
membelakangkan Al Quran dan Hadis semata-mata untuk dapat duit.
Banyak cara lain lagi untuk menagih rezeki Halal dari ALLAH. Rasulullah dan para Sahabat serta seluruh ulama besar dan orang-orang soleh, tidak makan gaji pun boleh hidup.
Silapnya makan gaji ini ialah ia menghalang kita dari sebebas-bebasnya memperjuangkan hukum ALLAH. Kita diikat, mulut ditutup dan fikiran dibekukan daripada memperkatakan dan melaksanakan kehidupan Sunnah. Sebaliknya kita diminta menyambung lidah mereka sahaja. Walaupun untuk itu, terpaksa menderhakai ALLAH.
Masakan ulama rela dibegitukan?
Kalau rela tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan ulama ini. Salah proses barangkali!
Ulama pewaris para nabi, demi cintanya pada ALLAH dan Rasul, sanggup susah daripada membiarkan agama dipermainkan.
Namun biasanya ALLAH tidak hinakan orang-orang Nya. Orang-orang ALLAH hakikatnya boleh kaya-raya. Tetapi mereka memilih miskin dengan mengorbankan kekayaan untuk Akhirat. Menyimpan di bank Akhirat. Sedangkan pemburu dunia, mencari kekayaan untuk dunia semata-mata. Lalu kayalah mereka sementara waktu untuk miskin selama-lamanya di Akhirat nanti. Wal’iyuzubiIauh.
Lulusan sekolah dan universiti agama kerajaan hampir semuanya ingin makan gaji. Bahkan nak menghafal Al Quran (tahfiz) pun kerana adanya tawaran bayaran. Sedangkan makan gaji ini bukan tradisi orang-orang soleh. Tidak layak hamba ALLAH menjadi kuli pada sesama manusia. Hamba ALLAH yang sebenar patut jadi tuan mencatur orang lain dengan undang-undang ALLAH.
Tetapi ulama keluaran kerajaan lain ceritanya. Mereka berebut-rebut minta kerja, isi borang, temuduga dan macam-macam syarat lain dipenuhi untuk dapat kerja makan gaji. Kalau tidak dapat, kecewa dan menganggur. Betul-betul macam orang-orang keluaran dari sistem sekular.
Mereka yang lahir dari sistem sekular itu tak apalah, memang mereka itu tidak diajar bergantung pada Tuhan. Tetapi kalau ulama pun tidak tahu hendak bergantung hidup pada Tuhan tanpa tuan, ini ulama yang sudah rosak. Dirosakkan oleh acuan yang memang sudah rosak.
Dalam Islam, belajar bukan untuk cari duit semata-mata. Sebab ilmu itu ibarat lampu lagi terang lampu, lagi jauh dan banyak jalan yang ditunjuk untuk dilalui dalam hidup. Termasuk jalan-jalan nak mencari duit tanpa menjual lampu itu untuk dapat duit.
Tapi kalau lampu dijual, gelaplah perjalanan menuju ke Akhirat. Bahkan jalan-jalan di dunia pun turut gelap. Guru-guru yang sedar bahawa anak murid yang diajarnya itu nanti akan makan gaji samalah dengan orang yang buat senjata, jual pada musuh. Nanti senjata itulah yang akan membunuh dirinya sendiri.
Sebenarnya kaedah cari ilmu untuk dijual dapatkan duit ini adalah satu tipuan halus musuh.
Fungsi ilmu yang sebenarnya ditutup dengan Wang. Kerana wang (dunia) itu pula memang pandai menipu. Maka kena dua kali tipulah umat Islam. Musuh buat propaganda konon kerja makan gaji ini standard, umat Islam pun iyakan. Mengikut pandangan nafsu memang standard. Dipuji pula musuh-musuh Islam kerana memberi gaji pada mereka.
“Datuk nenek kitapun tidak sebaik ini,”.
Maka berduyun-duyunlah mereka turun makan gaji. Tanpa sedar bahawa sebenarnya mereka seolah-olah lembu-lembu yang dibawa dengan lori, kemudian dihalau masuk kekandang ramai-ramai, dijamu sedap-sedap sampai terghalit-ghalit.
Di luar kandang, musuh kuasai segala harta kepunyaan mereka.
Musuh kuasai gelanggang ekonomi, pertanian, kemahiran, pentemakan dan segala kekayaan bumi. Jadilah mereka kaya-raya, umat Islam pula enak-enak di kandang.
Musuh kuasai bidang pendidikan, perubatan, perhubungan, media massa, politik, sosial dan serba-serbinya. Umat Islam keluar kandang untuk jadi pelanggan tetapnya.
Wajah umat Islam sudah dimakeup rapi oleh musuh hingga mirip betul wajah musuh. Hanya tinggal namanya saja Islam. Inilah hasil dari segala yang diperjuangkan dan dibanggakan oleh orang Islam kini. Kejayaan dan kebanggaan para kuli di pesta-pesta perhimpunan di kandang-kandang mereka.
Sedangkan tuan-tuan mereka bertakhta di singgahsananya memandang puas pada mangsa-mangsa yang sedang berpesta yang tidak sedarkan diri itu.
Ustaz Hj. Ashaari Muhammad
Ulama dalam pandangan Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan