Khamis, 7 Mac 2013

Kenal Hakikat Kebahagiaan




MANUSIA TIDAK AKAN mendapat kebahagiaan tidak akan mendapat ketenangan dan tidak akan mendapat keindahan hidup, kalau tiga perkara ini tidak dapat dimiliki:

1. Kenal ALLAH SWT.
2. Kenal kerja-kerja ALLAH SWT.
3. Kenal dirinya sendiri.


Tanpa tiga perkara ini juga, kita sebagai hamba ALLAH tidak akan pandai mengharungi hidup. Jiwa pasti tidak tenang, keluh-kesah sempit, rasa tersendat sahaja, sekalipun kita kaya, mempunyai kedudukan yang tinggi, ilmu yang tinggi, badan kuat, sasa dan sebagainya,

Inilah yang dimaksudkan oleh ALLAH SWT dalam sepotong ayat:

 "Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku, maka ALLAH SWT akan untukkan baginya kehidupan yang sempit. "

(Thoha:124)

Ertinya, orang yang tidak faham atau kenal Tuhan Azzawajalla, tidak kenal dirinya sendiri, dan tidak kenal kerja Tuhan Azzawajalla itu akan disempitkan kehidupannya. Maksud hidup sempit lni; hatinya sentiasa sempit. hati tidak lapang, kusut, hati tersendat, hati tidak tenang, kebahagiaan hati tidak diperolehi walaupun nampak pada zahirnya, hidupnya lapang. Kenapa?

Cuba kita bahaskan sedikit untuk membuktikan kenyataan ini.

1. Bila Tidak Kenal ALLAH

Orang yang tidak kenal ALLAH SWT ertinya orang yang tidak berTuhan. Orang yang tidak merasai adanya Tuhan Azzawajalla.
Walaupun kalau ditanya, dia mengatakan percaya adanya Tuhan Azzawajalla, tetapi dia tidak merasakan di hatinya bahawa dia itu berTuhankan ALLAH SWT. Orang yang tidak merasa di hatinya bahawa dia berTuhan, ertinya dia tidak ada tempat rujuk.Tidak ada  sandaran. Tidak ada tempat untuk menggantungkan harapan. Tidak ada tempat untuk meminta. Tidak ada tempat hendak mengadu.

Sedangkan manusia ini dalam hidupnya tidak boleh lepas daripada bermacam-macam masalah hidup seperti kesusahan dan kepayahan. Jadi kalaulah datang kepayahan dan kesusahan yang bermacam-macam bentuk, sedangkan rasa berTuhan tidak ada (ertinya tidak kenal ALLAH SWT), maka dia tidak ada tempat mengadu. Ertinya, dia terpaksa bergantung kepada diri sendiri sahaja untuk menyelesaikan masalahnya. Tidak mungkin manusia boleh menyelesaikan permasalahan hidupnya sendiri tanpa campur Tuhan  Azzawajalla.

Inilah yang dimaksudkan orang yang tidak kenal Tuhan jiwanya menderita, jiwanya tidak akan bahagia kerana tempat rujuk, tempat harapan, tempat bergantung sudah tidak ada. Sebab itu perlunya berTuhan dan mesti kenal ALLAH SWT.

2. Bila Tidak Kenal Diri Sendiri 

Dalam ajaran Islam ini penganutnya disuruh kenal hakikat dirinya, seperti maksud hadis:

"Barang siapa yang mengenal dirinya, dia akan mengenal Tuhannya.
(Hadis Pilihan)

Orang yang tidak mengenal dirinya, juga tidak akan bahagia. Sebab orang yang tidak mengenal dirinya sendiri ini, dia tidak akan terasa bahawa dirinya itu adalah hamba kepada Tuhan Azzawajalla.

Cuma kalau dia ditanya,
"Awak ini hamba ALLAH SWT kah ?"
Akalnya menjawab, "Ya!"

Itu bukan merasa, cuma sekadar pada ilmunya saja dia tahu yang dirinya adalah hamba ALLAH SWT.

Tetapi kalau rasa kehambaan itu tidak ada di dalam hatinya, ertinya dia tidak kenal dirinya sendiri. Orang yang tidak kenal dirinya sendiri, nanti dia rasa dirinva tuan. Dia rasa, dialah besar. Dia rasa dirinya mulia. Dia rasa, dialah yang mempunyai kelebihan  walaupun dia sebenarnya tidak ada kelebihan.

Maka timbullah sifat sombong dan sebagainya. Di waktu dia dalam suasana begitu atau perasaannya begitu, sekali lagi saya katakan, dalam pengalaman hidup manusia. dia tidak boleh lepas daripada cabaran. Kalau nantinya ada orang lain yang cabar atau ada orang yang lebih gagah daripada dia, menderitalah jiwanya, disebabkan ketuanannya tercabar. Dan yang lebih-lebih lagi tercabar, kalau dia Boss di pejabatnya, tiba-tiba peonnya tidak taat dengan dia lagi. Ketika itu dia rasa ketuanannya telah dihina dan dicabar. Ini disebabkan dia merasa dirinya adalah tuan yang mesti dihormati dan bukannya seorang hamba. Jadi hilanglah kebahagiaannya. Itu adalah sebagai contoh dan bolehlah kalau kita hendak datangkan contoh-contoh yang lain.

3. Bila tidak kenal kerja-kerja ALLAH

Begitu juga manusia tidak akan bahagia, tidak akan mendapat ketenangan walau bagaimana tinggi kedudukannya sekalipun, kalau dia tidak tahu kenapa dan mengapa ALLAH SWT jadikan pada dirinya sesuatu yang dia sukai atau sesuatu yang dia tidak sukai seperti yang telah disuratkan oleh taqdir. Kalau ALLAH SWT beri dia ilmu dia tidak tahu mengapa. ALLAH SWT beri dia kehidupan yang miskin, dia tidak tahu mengapa. ALLAH SWT beri dia sakit. dia tidak faham kenapa dan mengapa. ALLAH SWT beri dia kekayaan, dia tidak faham mengapa. ALLAH SWT beri dia kedudukan yang tinggi, jawatan yang tinggi tetapi dia tidak faham mengapa. ALLAH SWT jadikan dia pemimpin, dia tidak faham mengapa. ALLAH SWT jadikan dia sebagai pengikut, dia tidak faham mengapa. Orang ini juga tidak akan mendapat kebahagiaan.

Ya atau tidak ?
Cuba kita bahaskan apakah benar atau tidak,

kalau kita tidak tahu mengapa ALLAH SWT lakukan sesuatu taqdir itu kepada diri kita, nescaya kita tidak akan dapat kebahagiaan.

Contohnya, suatu masa kita jatuh sakit.Memang kita tidak boleh elak daripada sakit. Paling tidak dalam seumur hidup kita, walaupun sekali,mesti menerima sakit.  Biasanya dalam setahun kita mengalami tiga atau empat kali diserang sakit. Cuma keadaannya saja berbeza, antara ringan dengan berat sahaja. Bila kita sakit, kemudian kita tidak tahu mengapa ALLAH SWT sakitkan kita, nescaya kita akan membesar-besarkan rasa sakit itu.

Sudah penyakit itu sememangnya membuatkan diri atau badan kita sakit, tetapi dengan kita asyik keluh kesah menyesali sakit yang menimpa itu, jadi bertambahlah terasa sakitnya. Mula-mula sakit di badan, dan oleh kerana tidak tahu  mengapa ALLAH SWT sakitkan kita, akhirnya sakit hati. Jadi dua kali sakit iaitu sakit badan dan sakit hati. Akhirnya `meratus' atau bercakap yang bukan-bukan yang tidak selayaknya. Atau ALLAH SWT tlh memiskinkan hidup kita.

Tetapi kita tidak faham mengapa ALLAH SWT miskinkan hidup kita, maka parahlah jiwa kita dan menderitalah hidup kita di mana kita rasa terhina dengan kemiskinan itu.Sebaliknya kalau kita faham mengapa ALLAH SWT miskinkan kita tentulah kita tidak akan merasa terhina. Sebaliknya boleh terhibur hati kita. Dan kalau kita faham mengapa ALLAH SWT sakitkan kita, maka kita tidak akan keluh kesah menanggung rasa sakit itu. Hanya fizikal sahaja yang sakit tetapi hati tetap terhibur.

Kaya

Begitu jugalah kalau ALLAH SWT senangkan hidup kita atau kayakan kita, kita diberi jawatan, jadi pemimpin dan sebagainya, kalau kita tidak faham mengapa ALLAH  lakukan begitu kepada diri kita, natijahnya sama iaitu kita juga tidak bahagia.

Sebab kalau kita tidak tahu mengapa ALLAH SWTjadikan kita begitu, nanti kita rasa itu semua hanya kita yang punya. Apabila kita sudah merasakan itu semua adalah kita punya, sebelum harta itu hilang atau luak, hati kecil kita sudah menderita. Susah hati,

"Jangan jangan, harta aku nanti dicuri orang."
"Jangan-jangan, nanti akan luak harta aku ini."
"Jangan-jangan, dalam dua atau tiga tahun lagi mungkin jawatan aku diambil orang."

Mengenangkan hal itu, hatinya jadi sakit parah. Sebelum dia jatuh daripada jawatannya lagi, hatinya sudah jatuh sakit tertekan terlebih dahulu. Kalau taqdirnya esok dia jatuh maknanya dia mengalami dua kali jatuh iaitu fizikalnya jatuh dan hatinya juga jatuh. Ini disebabkan dia tidak dapat faham mengapa ALLAH SWT jadikan dia sebagai pemimpin, mengapa ALLAH SWT kayakan dia dan mengapa ALLAH SWT beri dia jawatan. Dia tidak faham semua itu. Akhirnya tidak dapat kebahagiaan juga. Tidak bahagia.

Padahal, sama ada ujian kesusahan mahupun ujian kesenangan, di sebalik itu ada maksud ALLAH SWT. Maha Suci ALLAH SWT yang tidak pernah melakukan sesuatu itu sia-sia atau semberono sahaja. Tidak. ALLAH SWT lakukan semua itu dengan penuh hikmah. Ada mengandung pengajaran. Ada falsafahnya, ada maksud tersiratnya dan ada pendidikannya.

Miskin 

Katalah ALLAH SWT miskinkan kita atau sakitkan kita umpamanya. Orang yang kenal kerja ALLAH SWT melalui Al Quran dan melalui Sunnah Rasulullah SAW, hatinya
terhibur menerima taqdir itu. Betapa dia tidak terhibur kerana:

1. Dia sedar ALLAH SWT hendak beri dia kerehatan dan kurang tanggungjawab. Orang miskin dan orang yang sakit, kurang tanggungjawab atau tidak ada tanggungjawab  kepada masyarakat. Itu kan meringankan beban tanggungjawabnya. Dia sedar itulah caranya ALLAH SWT hendak ungkai tanggungjawabnya kepada masyarakat, kepada negara dan sebagainya yang begitu sulit kalau kita yang memikul tanggungjawab itu  iaitu kalau ALLAH SWT bagi kepada kita tanggungjawab itu.

2. Kita masih terhibur kalau kita rasa pernah berdosa:

"Oh! ALLAH SWT nak selesaikan di sini lagi, ALLAH SWT dahulukan hukuman di dunia, kerana ALLAH SWT tidak mahu hukum aku di
Akhirat dengan Neraka. ALLAH SWT selamatkan aku daripada seksa Neraka.."

Kalau kita berfikir begitu, hati kita masih boleh terhibur. Sebab kesilapan kita itu, kalau ALLAH SWT hukum di Akhirat atau ditangguhkan di Akhirat nanti iaitu selepas kita mati, tentulah amat dahsyat. Wal' iyazubillah. Tetapi apabila ALLAH SWT hukum dosa-dosa kita di dunia lagi iaitu dengan ditimpakan sakit, miskin dan dihilangkan pangkat kita, ertinya ALLAH tidak akan hukum lagi di Akhirat kerana sakit miskin dan kehilangan pangkat itu adalah termasuk hukuman ALLAH SWT.

"Oh! Rupa-rupanya ALLAH SWT hukum aku melalui cara ini, di sini sahaja (di dunia) di atas kesalahan aku. Kalau dihukum di sini, manalah berat sangat jika dibandingkan kalau dihukum di Akhirat dengan Neraka.."

Masih terhibur hatinya.

Ataupun kalau dia pada Lahirnva tidak nampak dia berbuat salah,
"Oh! Barangkali ALLAH SWT hendak bagi aku darjat dan pangkat di Akhirat dengan Syurga." Terhibur hatinya. Masih mampu terhibur dalam ujian. Ini hanya berlaku kalau dia tahu mengapa ALLAH SWT sakitkan dia atau miskinkan dia. Dia terus terhibur kerana hatinya tetap kaya.

Jadi barulah kita faham, bila kita miskin atau sakit, itu menunjukkan ALLAH SWT hendak beri kepada kita pahala sabar, iaitu selain daripada hikmah yang telah saya sebutkan tadi. Sebab sabar itu diperolehi bila seseorang itu miskin, bila sakit, bila tidak ada jawatan dan sebagainya. Sabar dalam rnenanggung perasaan ketika ditimpa ujian itu amat besar pahalanya di nisi

ALLAH SWT. Dalam Al Quran dinyatakan:

"Sesunggulznva ganjaran untuk orang yang sabar ialah tanpa hisab. "
(Az Zumar:10)

Jadi pahala sabar yang ALLAH SWT ganjarkan itu tanpa hisab. la tidak mengikut nisbah biasa satu nisbah sepuluh atau satu nisbah tujuh puluh. Sebaliknya mengikut seberapa banyak yang ALLAH SWT hendak beri.. Inilah nilai pahala sabar. Jadi kalau kita faham tentang hakikat itu semua, tidak jadi masalahlah tentang sakit, tentang miskin, tidak ada harta dan sebagainya.

Begitu juga umpamanya kalau kita diberi kelebihan oleh ALLAH SWT dengan ilmu. Ini adalah dengan tujuan supaya kita dapat pahala nelalui ilmu ini dengan cara mengajar orang ramai atau berdakwah. Tujuan ALLAH SWT supaya kita dapat pahala syukur.
Kita bekerja menyampaikan.ilmu kepada orang lain itu sebagai tanda kita bersyukur kerana ALLAH SWT beri ilmu kepada kita. Di situlah ALLAH SWT beri pahala syukur. Atau kita diberi harta yang banyak dan dengannya membolehkan kita berkorban. Apabila kita berkorban, itulah tanda syukur maka kita dapat pahala syukur.

Atau kalau seseorang itu menjadi pemimpin dan lebih-lebih kalau jadi pemimpin besar di peringkat negara. Nikmat ini adalah untuk membolehkan dia bersyukur melalul jawatan itu sebab Ia boleh gunakan jawatannya itu untuk melindungi umat. Melindungi umat ini terlalu besar pahalanya iaitu satu saat sahaja dia boleh berlaku adil, akan dapat pahala yang lebih besar daripada seorang abid yang sudah tujuh puluh tahun beribadah. Juga dia termasuk orang yang dilindungi di Padang Mahsyar esok. daripada kepanasan matahari yang di waktu itu tidak ada perlindungan apa-apa selain perlindungan Arasy. Kalau kita rujuk kepada hadis, ada disenaraikan tujuh golongan yang dilindungi dan duduk di bawah bayangan Arasy; termasuk pemimpin yang adil. Jadi ALLAH SWT hendak beri peluang pahala secara memberikan nikmat-nikmat tertentu agar orang itu bersyukur melalui nikmat itu. Kalau ALLAH SWT beri harta adalah untuk memberi peluang kepadanya bersyukur dengan cara dia membahagi-bahagikan hartanya itu:

"Nikmat ALLAH SWT itu hendaklah diagih-agihkan (dicaing-caing atau dibahagi-bahagikan). "
(Ad Dhuha: 11)

Itulah ciri-ciri atau tanda orang yang bersyukur. Pahala syukur ini sangat besar. Ada ulama yang memberi pendapat pahala syukur lebih besar daripada pahala sabar. Sedangkan pahala sabar saja pun sudah Bighairi hisab apatah lagi pahala syukur ini; mungkin di samping kita dapat Bighairi hisab, ada darjat-darjat lain yang ditambah supaya ianya mengatasi pahala sabar tadi.

Tetapi kebanyakan orang tidak faham mengapa dia diberi kekayaan, mengapa dia diberi pangkat, mengapa dia diberi ilmu. Dia tidak faham. Sebab itu dia jadi orang yang sombong dengan harta. Dia jadi orang yang tamak. Dia tahan hartanya dan tidak dikorbankan pada jalan ALLAH SWT. Diberi ilmu kepadanya tetapi dia sombong dengan ilmunya itu. Tidak disampaikan kepada orang lain dan kalau disampaikan pun mesti dinilai dengan Wang ringgit umpamanya sejam mesti dibayar seratus atau dua ratus ringgit. Dia mensyarahkan ilmunya itu bukan dengan tujuan untuk menginsafkan orang yang mendengar.

Begitu juga kalau dia jadi pemimpin, niatnya bukan hendak melindungi orang ramai, bukan hendak ajak orang ramai kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya tetapi dia berbangga dengan jawatan dan kedudukan yang dimilikinya.

Amaran untuk si bakhil Orang yang berharta umpamanya, apabila dia tidak tahu mengapa dia diberi kekayaan oleh ALLAH SWT, timbul tamak dengan harta, kedekut dengan harta, sayang dengan harta dan tidak dikorbankan pada jalan ALLAH, maka ALLAH memberi amaran dalam Al Quran:

"Mereka yang menumpuk-numpukkan emas dan perak. Berilah khabar gembira dengan azab yang maha pedih. "

(At Taubah: 34)

Zaman dahulu emas dan perak itulah yang menjadi harta dan matawang. Mereka berjual beli dengan menggunakan wang emas dan perak. Zaman sekarang, emas dinilai dengan wang kertas tetapi hakikatnya sama juga. Dengan rahmat-Nya, maka ALLAH SWT beri manusia ini ilmu dan kaedah menilai emas itu dengan kertas, yang mana ini sangat memudahkan.

Jadi mereka yang menumpuk-numpukkan emas dan perak serta tidak dikorbankannya pada jalan ALLAH maka ALLAH S WT perli  mereka:

"Berilah mereka itu khabar gembira.. "

Biasanya  apabila  disebut khabar gembira itu ialah dengan sesuatu yang baik dan yang positif. Tetapi untuk mereka ini, ALLAH SWT khabarkan dengan perkara yang negatif sebagai suatu perli, "dengan azab yang maha pedih (Neraka). "

Bagaimanakah bentuk atau ciri-ciri orang yang menumpuk-numpukkan harta ?
Termasuk ciri orang yang menumpuk-numpukkan harta ini ialah:

1.Orang yang tidak mengeluarkan zakat.
2. Orang yang tidak keluarkan kewajiban yang aradhi.

Apakah kewajipan yang aradhi ? 

Iaitu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan pada masa-masa yang tertentu ketika masyarakat Islam memerlukan bantuan kewangan. Sedangkan orang-orang miskin tidak boleh bertanggungjawab kerana mereka tidak ada harta kepunyaan peribadi.Umpamanya ketika umat Islam memerlukan hospital yang menjalankan perawatan secara syariat, di waktu itu wajib hukumnya bagi orang kaya untuk mengeluarkan bantuan kewangan hingga kepada tercetus sebuah hospital. Kalau tidak dikeluarkan wangnya maka dia termasuk golongan orang yang membekukan hartanya atau orang yang menumpuk-numpukkan hartanya.

Salah Faham

Sekali-sekala bila berlaku bencana alam yang menyebabkan bangunan dan harta benda rosak serta ramai orang yang mati dan sakit. Bantuan yang banyak sangat diperlukan. Dan di waktu itu wajib aradhi bagi orang yang kaya di tempat itu bertanggungjawab. Bukan saja kerajaan (kerana dalam hal ini kerajaan memang sudah semestinya bertanggungjawab) tetapi orang kaya juga wajib bertanggungjawab. Kadangkala dalam kes-kes tertentu orang-orang kaya dituntut untuk lebih bertanggung-jawab daripada kerajaan.

Contohnya kalau kerajaan sendiri menghadapi masalah kewangan, orang kaya lebih dipertanggungjawabkan daripada pemerintah. Kalau dia tidak mahu keluarkan hartanya untuk perkara wajib aradhi itu maka termasuklah dia sebagai orang yang membekukan harta atau menumpuk-numpukkan harta. Sekali-sekala pula umpamanya umat Islam amat perlu atau sangat terdesak supaya membangunkan ekonomi komersil secara Islam untuk mencabar ekonomi kapitalis yang sudah sekian menindas masyarakat. Tetapi umpamanya, orang-orang kaya Islam masih lagi tidak bertanggungjawab di mana hartanya yang terhimpun itu tetap ditahan dan tidak dialirkan untuk membangunkan ekonomi komersil itu maka dia termasuk mereka yang menumpuk-numpukkan harta yang akan diberi "khabar gembira" dengan azab yang maha pedih iaitu Neraka. Wal `iyazubillah.

Termasuk juga orang yang suka menumpuk-numpukkan harta ini ialah mereka yang membekukan hartanya sampai setahun tidak teredar di tengah masyarakat. Ini termasuk juga kategori menumpuk-numpukkan harta.

Dalam Ihya' Ulumuddin ulasan daripada Imam Al Ghazali rh:
"Seseorang itu hanya dibenarkan menyimpan wang ringgit, emas dan Perak hanya dalam masa setahun iaitu untuk sekadar perbelanjaannya selama setahun. "

Dalam tempoh itu sahaja yang dibenarkan atau diharuskan. Kalau sudah lebih setahun duit itu hanya tersimpan di dalam laci kita (style menyimpan ala kampung) atau disimpan dalam bank dan tidak teredar di tengah masyarakat, sama ada dalam bentuk dipinjamkan, disedekahkan, ataupun dia membangunkan kedai untuk memudahkan orang ramai membeli-belah dan mendapatkan barang-barang keperluan harian dan sebagainya, dia termasuk orang yang menumpuk-numpukkan harta.

Ramai orang yang tidak faham maksud ayat ini dengan menganggap bahawa orang kaya yang tidak bersyukur atau yang tidak bertanggungjawab itu hanyalah mereka yang tidak mengeluarkan zakat sahaja. Ini suatu kesilapan dan kekeliruan. Ulama-ulama hanya menceritakan perkara yang pertama sahaja, sedangkan dua perkara lagi itu disorok.

Haram hukumya
Jadi kalau lebih setahun harta itu tidak teredar di tengah masyarakat seperti tidak diperniagakan, tidak diberi pinjam kepada orang yang kesempitan hidup, tidak digunakan untuk membantu orang yang sedang susah dan sebagainya maka dia termasuk golongan yang menumpuk-numpukkan harta. Haram hukumnya. Setidak-tidaknya kalau dibangunkan kedai, berapa banyak orang dapat menikmati kemudahan membeli-belah. Masyarakat boleh menumpang membeli barang-barang keperluan dengan tidak perlu bersusah-payah pergi ke tempat yang jauh.

Sebaliknya golongan ini lebih gemar untuk terus menghimpun hartanya. Lebih-lebih lagi di zaman berleluasanya amalan riba ini, sengaja harta disimpan dalam bank sebagai `pokok' daripada situ mereka hanya `makan bunga' sahaja. Perangai begini lebih dahsyat lagi.

Jadi kebanyakan manusia yang ada di muka bumi ini tidak kenal ALLAH SWT, tidak kenal dirinya sendiri dan tidak kenal mengapa ALLAH SWT berbuat sesuatu terhadap dirinya. Akibatnya dia tidak pandai menempuh hidup. Bila tidak pandai menempuh hidup maka dia tidak akan dapat kebahagiaan hakiki.

Barulah kita sedar betapa pentingnya rasa bertuhan.

Bukan sekadar tahu adanya Tuhan tetapi rasa berTuhan itu juga amat penting. Seterusnya rasa kehambaan dan faham benar kerja-kerja ALLAH SWT kepada diri kita itu amat penting sekali. Ini faktor keselamatan kita di dunia dan Akhirat. moga-moga ALLAH SWT sentiasa memimpin kita hingga kita mendapat kejayaan di dunia dan di Akhirat. sp


--------------------
Nota mafhum hadis
--------------------
"Barang siapa yang mengenal dirinya, dia akan mengenal Tuhannya. Atau Barangsiapa mengenal dirinya maka sesungguhnya telah mengenal Tuhannya

Mengenai hadis ini Syeikh Daud Abdullah Fathani sependapat dengan semua Ulama Asia Tenggara bahawa kalimat ini adalah hadis walaupun beliau tahu bahawa ada orang yang berpendapat ia bukan hadis .

Ulama-ulama yang menolak hadis ini diantaranya Syeikh Ibnu Taimiyah menilainya sebagai maudhu Imam Jalaludin asSayuti walaupun beliau menyebut hadis ini tidak sahih namun dia tetap mengakui ia adalah hadis .Demikian juga Imam Nawawi beliau menyebut tidak tsabit namun tetap mengakuinya sebagai hadis.Imam Zarkasyi yang berpunca daripada Ibnu Samani berpendapat bahawa adalah berasal dari perkataan Yahya bin Muaz ar Razi

Golongan ulama Tasauf tetap mempertahankannya sebagai hadis termasuklah Imam al Ghazali,Abu Abbas al Marsi, Abu Thalib al Makki ,Ibnu Atha ullah dan lain-lain sangat ramai untuk disebutkan satu persatu.Ulama-ulama Asia Tenggara selain Syeikh Daud Abdullah Fathani yang pernah membahas hadis ini yang tetap mengakui sebagai hadis diantaranya ialah Nuruddin ar Raniri ,Abdur Rauf alFansuri ,AbduSomad alPalambani dan lain-lain ramai lagi .Walaupun mereka juga membaca kitab Ibnu Taimiyah dan Imam Zarkasyi yang menolak hadis tersebut namun mereka tidak berpegang dengan kedua-duanya

Dengan keterangan ini diatas orang yang tidak sependapat dengan pemikiran Ulama-ulama kita yang terdahulu janganlah beranggapan bahawa ulama-ulama kita tidak menguasai llmu Hadis setiap baris yang mereka tulis ada hujah-hujahnya yang tertentu

Rujukan Ustaz Wan Saghir Abdullah



Fahamilah Maksud Perbuatan Tuhan

Orang yang tidak kenal Tuhan,
orang yang tidak faham kerja-kerja Tuhan
Dia tidak akan faham maksud Tuhan menjadikan sesuatu

Maksud Tuhan itu difaham mengikut yang dia faham
Akhirnya dia tidak mampu menanggung, apa yang dilakukan oleh Tuhan pada dirinya
Kalau Tuhan beri dia kuasa,
Tuhan hendak melihatkan kuasa-Nya pada diri orang itu
Tapi orang itu merasa berkuasa
dan berbangga dengan kuasa yang ada
Dia pun takbur dan sombong dan menyalahguna kuasanya
Jika dia diberi kekayaan,
Tuhan hendak melihatkan kekayaan-Nya pada diri orang itu
Tapi orang itu dialah yang merasa kaya, dia pun megah dan sombong
Dia pun menghina orang yang papa kedana

Apabila Tuhan memberi ilmu,
Tuhan hendak memberitahu ilmu-Nya pada orang itu
Ilmu Tuhan yang diberi kepadanya
Orang itu menganggap dialah yang punya ilmu,
dia mahu dihormat dan dipuji
Dia rasa, dialah orang alim yang patut dimuliakan
Padahal Tuhan hendak melihatkan ilmu-Nya pada orang itu
Jika seseorang itu suaranya sedap atau rupa parasnya cantik
Tuhan memberitahu itu adalah anugerah Tuhan padanya
Tuhan pinjamkan kepadanya
Tapi orang itu merasa megah pula dengan suara dan rupanya
Ingin dipuji dan disanjung selalu

Kalau Tuhan uji seseorang dengan kesusahan dan penderitaan
Tuhan hendak memberitahu,
Dia mampu bertindak apa sahaja kalau Dia mahu
Dia mahu orang itu sedar dan insaf agar kembali kepada-Nya
Tapi orang itu pula dia tidak senang, gelisah,
kecewa dan putus asa
Begitulah orang yang tidak kenal dan tidak faham perbuatan Tuhan
Orang itu tidak akan rasa tenang jiwanya
Jiwanya tidak senang dan kecewa selalu mungkin putus asa

Hormat orang tidak kekal, sanjungan orang tidak selalu
Pujian orang tidak mesti sampai ke hujung
Kemegahan dan kekuasaan tidak selama-lamanya
Apabila segala-galanya sudah tidak wujud
Lagi kecewa, menderita, putus asa

Oleh itu kenalilah Tuhan,
fahamilah maksud perbuatan Tuhan  
Bukan maksud seperti yang kita fahami

8.11.2002
3 Ramadhan 1423H
Waktu Dhuha

Tiada ulasan:

Catat Ulasan