Sabtu, 17 September 2011

IQ EQ dan SQ


Nampaknya dalam bidang pendidikan pihak-pihak yang berwajib masih teraba-raba dan masih tercari-cari untuk mendapatkan formula yang terbaik dalam mendidik pelajar-pelajar di sekolah. Keperluan ini bertambah penting memandangkan disiplin para pelajar sekarang telah begitu merosot hingga ramai yang terlibat dengan gangsterisme, vandalisme, pergaduhan, budaya rock, budaya metal, skinhead, salahguna dadah, melawan guru, membakar kereta guru bahkan ada pelajar-pelajar yang sampai memukul dan mencederakan pelajar-pelajar lain.

Semakin banyak dan semakin keras atau drastik tindakan yang diambil, nampaknya masalah yang dihadapi semakin menjadi serius. Semakin lama masa berlalu, semakin banyak kes-kes yang terbongkar.

Ada pihak yang merasakan bahawa kesilapan ini terletak kepada sistem pelajaran kita yang hanya mementingkan dan mengambil berat tentang pertumbuhan IQ (Intelligence Quotient) semata-mata. Dalam sistem yang ada sekarang, kecerdasan minda atau IQ sahaja yang menjadi indeks pengukur bagi menilai kecemerlangan seseorang pelajar. Pihak ini merasakan bahawa kecerdasan minda sahaja tidak memadai. IQ hanya satu ukuran bagi menunjukkan kemampuan mental dalam mengumpul ilmu dan
menyelesaikan masalah teoritikal. Ia tidak menunjuk kepada kualiti pelajar secara menyeluruh yang sepatutnya merangkumi lebih banyak ciri, skop, bidang dan kriterianya.

Kalau diteliti, kita akan dapati di dalam keputusan peperiksaan yang semakin baik, akhlak, peribadi, jatidiri dan perilaku pelajar semakin buruk dan merosot. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Terbukti bahawa pembinaan kecemerlangan para pelajar tidak lengkap dan tidak menyeluruh. Peribadi pelajar yang terbina berat sebelah dan tidak seimbang. Pihak ini merasakan ada lagi bentuk kecerdasan lain yang mesti diambil kira iaitu EQ (Emotional Quotient).

Mereka merasakan IQ perlu diimbangi dengan EQ. Kecerdasan minda perlu diimbangi dengan kecerdasan emosi. Kalau tidak, mereka merasakan emosi para pelajar akan mudah terganggu dan pelajar akan bertindak mengikut emosi dan dorongan perasaan. Dalam hal ini, kecerdasan minda tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Mereka berkata lagi, apabila pelajar mempunyai EQ yang rendah atau kecerdasan emosinya kurang, maka emosinya menjadi tidak stabil. Mereka akan bertindak mengikut emosi dan mudah terjebak dengan vandalisme, gangsterisme, keganasan atau mencederakan orang lain.

Di dalam pendidikan Islam, perkara ini memang diambil kira. Malahan lebih dari itu pun diambil kira. Tuhan menjadikan manusia mempunyai sifat batin yang berbeza-beza antara satu sama lain.

Ada tiga jenis sifat atau kekuatan batin yang menonjol yang mencorakkan sifat manusia
yang berbeza-beza itu. Di antaranya ialah:
Kekuatan akal
Kekuatan perasaan
Kekuatan jiwa

Dalam istilah modennya, bolehlah dinamakan
IQ (Intelligence Quotient),
EQ (Emotional Quotient)
SQ (Spiritual Quotient),

Namun tidak ramai guru-guru atau para pendidik yang benar-benar faham tentang ketiga-tiga kekuatan ini dan bagaimana untuk mengendalikannya.

Setiap orang mempunyai salah satu dari kekuatan di atas. Jarang ada manusia yang memiliki ketiga-tiga kekuatan tersebut sekaligus kecuali para nabi dan para rasul. Orang yang mempunyai kekuatan akal selalunya kurang mempunyai kekuatan jiwa dan kekuatan perasaan. Seterusnya, sesiapa yang mempunyai kekuatan jiwa, maka dia kurang mempunyai kekuatan akal dan kekuatan perasaan. Kalau seseorang itu mempunyai kekuatan perasaan pula, maka kekuatan akal dan kekuatan jiwanya pula kurang.

Sifat, watak dan bakat seseorang itu bergantung kepada kekuatan batin yang mana yang ada padanya. Inilah punca utama dan terbesar mengapa berlaku perbezaan sifat, watak dan bakat antara seseorang itu dengan orang lain.

Inilah di antara hikmah dan rahmat Tuhan dalam penciptaan manusia. Sifat, bakat, minat dan kecenderungan manusia itu tidak sama dan berbeza-beza mengikut sifat dan kekuatan batinnya. Ini sesuai dengan keperluan masyarakat manusia itu sendiri yang juga tidak sama dan berbeza-beza. Yang kuat jiwa suka dan berbakat menjadi polis, tentera, bertani, penternak dan nelayan. Yang kuat akal berbakat menjadi guru, peguam, jurutera, saintis, doktor, teknokrat. Yang kuat perasaan pula berbakat menjadi ahli seni, pekerja media, sasterawan dan sebagainya.

Dengan kepelbagaian minat dan bakat ini maka masyarakat manusia menjadi lengkap, perlu memerlukan dan kuat menguatkan. Masing-masing dengan tugas masing-masing, berkhidmat sesama manusia dalam bidang yang berbagai-bagai. Takkanlah semua pelajar hendak menjadi doktor, peguam, jurutera dan saintis sahaja. Kalau begitu, pincanglah masyarakat. Siapa yang akan membekalkan makanan, menjaga keselamatan dan lain-lain.

Memang benar bahawa sistem pendidikan yang kita amalkan di waktu ini amat bias dan mementingkan kekuatan akal atau IQ semata-mata. Tidak ada tempat dan ruang untuk pelajar yang kuat jiwa dan kuat perasaan atau dalam istilah yang lain yang kuat SQ dan EQnya. Oleh itu, mereka ini terpinggir dalam sistem yang hanya mementingkan IQ semata-mata. Sistem ini tidak relevan bagi mereka.

Tidak hairanlah kalau mereka ini rosak dan hanyut kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem yang ada yang asing dan tidak mengiktiraf kelebihan-kelebihan yang ada pada mereka. Mereka diasak dan ditubi untuk menghasilkan kerja akal walhal kekuatan mereka bukan terletak di situ. Dalam hal-hal yang mereka minat dan mampu berdasarkan kekuatan perasaan dan jiwa mereka tidak pula dicungkil ataupun dibina. Kesannya ialah tekanan perasaan, kekecewaan, putus asa dan kekeliruan. Maka berlakulah tindak balas sebagai manifestasi kepada kekecewaan, tekanan perasaan, putus asa dan kekeliruan ini. Yang kuat jiwa mengganas, memberontak dan melanggar disiplin dan peraturan. Yang kuat perasaan pula mendongkol, murung, merasa inferiority complex, putus asa dan sakit jiwa.

Di dalam setiap kekuatan batin yang disebutkan di atas, ada kebaikan dan ada pula keburukannya. Yang baik akan memberi faedah. Yang buruk pula akan membawa kerugian. Sifat-sifat baik dan buruk ini adalah seperti berikut:

Kekuatan Akal
Orang yang kuat akal mempunyai keupayaan berfikir. Melalui pemikirannya itu, dia boleh membuat berbagai-bagai penemuan dan teori. Dia juga mudah faham dan mudah mengingati ilmu-ilmu yang dipelajarinya bahkan dia mampu mencungkil ilmu yang tersirat dan yang tersembunyi. Dia juga sangat berhati-hati supaya hasil kerja akalnya tidak salah.

Sebaliknya pula, orang yang kuat akal selalu asyik mahsyuk dengan kerja akalnya sehingga dia selalu terlupa dan terlalai dari tanggungjawabnya sama ada terhadap Tuhan, terhadap masyarakat, keluarga bahkan pada dirinya sendiri. Jiwanya penuh dengan rasa ujub (rasa diri hebat).

Kekuatan Perasaan

Orang yang kuat perasaan selalunya sangat berhati-hati dan tidak gopoh. Dia sangat bertimbang rasa dan wataknya lemah lembut.

Namun keburukan sifat orang yang kuat perasaan ini ada banyak. Dia bakhil, mudah merajuk, mudah kecewa, suka menyendiri, rasa rendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri. Dia juga mudah beralah, pemalu, penakut, tidak tahan diuji dan suka jahat sangka.

Kekuatan Jiwa
Orang yang kuat jiwa pula berani, yakin pada diri, pemurah, tabah, tahan diuji dan tidak tahu putus asa.

Keburukannya pula, dia selalu gopoh, boros (membazir), zalim (suka menindas), pemarah, sombong, pendendam dan ujub.

Dalam hendak mendidik para pelajar, kekuatan batin mereka harus dikenalpasti terlebih dahulu. Setiap guru dan pendidik mesti tahu di mana letak kekuatan batin setiap pelajar mereka. Adakah akalnya kuat, perasaannya kuat atau adakah jiwanya yang kuat. Kemudian mereka perlu dididik mengikut kekuatan mereka masing-masing.

Setiap pelajar mempunyai sifat-sifat batin yang baik di samping sifat-sifat batin yang buruk. Tegasnya setiap pelajar mempunyai kelebihan dan keistimewaan dan juga kekurangan dan kelemahan yang tertentu bergantung kepada kekuatan batin yang ada padanya. Setiap sifat yang baik itu tidak akan sempurna selagi ianya tidak dipimpin dengan syariat Islam dan diarahkan kepada jalan Allah. Begitu juga, setiap sifat yang buruk itu boleh dididik hingga ia menjadi baik atau sekurang-kurangnya ia boleh dibendung agar ia tidak meliar.

Inilah yang perlu difahami oleh para guru dan pendidik dan semua yang terlibat dengan para para pelajar di semua peringkat sama ada di peringkat sekolah, pendidikan daerah, pendidikan negeri dan kementerian sendiri. Kalau istilah pembelajaran itu berkaitan dengan ilmu, kemahiran dan akal, istilah pendidikan pula melibatkan pengurusan dan pengendalian sifat batin pelajar. Selagi perkara ini tidak difahami, tidak diambil kira dan tidak dijadikan konsep dan prinsip dalam mendidik, membimbing dan membentuk para pelajar, selagi itulah kita tidak akan dapat menghasilkan pelajar yang benar-benar cemerlang lahir dan batinnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan