Ahad, 8 Januari 2012

BUATLAH IBADAH KERANA ALLAH


Umpama seorang yang kita cukup kenal, katakanlah dia itu kekasih kita. Dia buat baik kepada kita, buat suruhan kita, bukan kerana sayang kepada kita, bukan kerana cinta kita, tetapi dia ada target lain. Dia nakkan duit kita rupanya. Dia nakkan kereta kita. Jadi dia bukanlah nakkan kita, atau benar-benar cintakan kita. Tetapi dia hanya nakkan harta atau milik kita itu seperti duit dan kereta.

Bayangkan, apakah orang seperti itu yang kita mahu jadikan kekasih kita ?

Realitinya ramai di antara kita memperlakukan begitu dengan Tuhan. Ramai di antara kita buat ibadah bukan kerana Tuhan. Tetapi kerana makhluk Tuhan atau ciptaan Tuhan seperti syurga atau pahala.

Padahal apa ada pada syurga atau pahala ?
Ia sekadar ciptaan Tuhan. Ciptaan Tuhan itu makhluklah namanya. Jadi, kita buat ibadah sebenarnya untuk apa?

Bukankah ibadah itu sepatutnya dilakukan kerana Tuhan?
Kita lakukan kerana kita benar-benar kasih dan sayangkan Tuhan. Kita buat untuk mendapatkan cinta Tuhan. Atau dalam ertikata lain nak dapatkan Tuhan itu sendiri.

Oleh itu, tujulah kepada Tuhan, bukan ciptaan Tuhan. Kalau kita tuju kepada syurga atau pahala, itu menunjukkan kita tak hiraukan Tuhan, tetapi lebih berminat kepada ciptaanNya. Bayangkan apa kata Tuhan, seolah-olah Tuhan akan berkata,

“kau nakkan ciptaanKu, Aku boleh bagi, tapi kau takkan dapat Aku, kasih sayang Aku.”

Mana yang kita nak? Mana lebih besar? Ciptaan Tuhan berupa syurga dan pahala, atau Tuhan itu sendiri?

Biarlah soal ganjaran itu Allah yang tentukan. Bahkan kalau kita dah dapat Tuhan, insyaAllah, kita akan dapat segala-galanya. Dia akan bagi sesuai dengan sifat Maha Pemurah dan Penyayangnya.

Selama ini pun di dunia, Dia beri juga. Dalam kita buat dosa, dalam kita tak hirau Dia, masih Dia beri juga macam-macam kepada kita. Lebih-lebih lagilah kalau kita sudah dapatkan Dia.

Jadi, marilah kita dapatkan Tuhan.
Apa sahaja yang kita buat ini, baik ibadah fardhu mahupun sunat, buatlah kerana Tuhan. Buatlah untuk mendapat keredhaan, keampunan dan kasih sayangNya. Kerana itulah yang sebenarnya kita harap-harapkan. Tidak ada yang lebih besar di dunia dan akhirat melainkan keredhaan, keampunan dan kasih sayang Tuhan.

Namun, sudah barang tentu ini semua tidak dapat dilakukan kecuali kita memang benar-benar mengenali Tuhan kita. Asasnya ialah dengan mengenali Tuhan. Bila sudah kenal, tercetuslah rasa kasih dan sayang kita kepada Tuhan. Inilah yang sepatutnya ada pada diri kita. Rasa kasih dan sayang pada Tuhan inilah yang akan membuatkan kita beribadah semata-mata kerana Tuhan. Dan bukan kerana hal-hal lain yang merosakkan hubungan kita dengan Tuhan.

Sekian.


Sudahkah Kita Menyiapkan Pembela Untuk Membela Kita Selepas Kita Mati

Manusia hidup di dunia berbagai-bagai keadaannya, tidak sama,
Ada yang miskin, kaya, pandai, bodoh, yang cacat dan sempurna,
Ada yang berkuasa, ada pengikut, ada yang berpengaruh,
ada yang menjadi raja, ada yang berkawan, ada yang seorang diri sahaja,
Ada yang terkenal, ada nama, ada yang tidak tahu tentang dirinya,

Kalau mereka tidak takutkan Tuhan, tidak takut hari pembalasan,
Mereka akan melahirkan sikap mengikut keadaan dan suasana kehidupannya,

Ada yang megah, ada yang sombong, ada yang terhina,
Ada yang kecewa, ada yang putus asa, ada yang berbagai-bagai lagi sikap
Mengikutlah keadaan dan situasi diri dan status diri,

Tapi semuanya itu akan bersendiri apabila mati,
Sekalipun raja yang ada pengawalnya,
Sekalipun berkuasa, orang takut dengannya, namun didalam kubur seorang diri,

Yang ramai pengikut dan kawan,
Namun tidak ada yang ikut didalam kuburnya,
Masing-masing seorang diri tanpa kawan,
Sekalipun orang yang disayangi,

Orang yang tidak ada kawan didalam kubur tidak adalah pembelanya,
Oleh itu carilah kawan dimasa hidupnya sebagai pembela selepas mati,
Pembela itu ialah iman, taqwa, amal soleh
Dan kebaikan yang kita buat didunia,

Tawadhuk kita, pemurah kita, kasih sayang kita, tolak ansur kita,
Simpati kita dengan orang yang susah, mujahadah kita, jihad kita,
Nafsu kita yang ditundukkan kepada Tuhan,

Sudahkah kita menyiapkan pembela kita dimasa hidup
untuk membela kita selepas mati kita?
Dimasa itu harta dan anak tidak memberi apa-apa manafaat kepada kita,
Kecuali yang membawa hati yang selamat daripada syirik dan mazmumah.

Nukilan:Ust Hj Ashaari Muhammad
14-05-05
Menjelang Maghrib

Betulkah Ibadah itu agama? (bhg 1)


Bismillahir rahmanir rahim

Terima kasih Tuhan kerana Engkau telah menganugerahkan kepada kami peluang untuk berkongsi ilmu. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW kerananyalah rezeki ini kita perolehi. Oleh itu marilah kita banyak bersyukur kepada Tuhan dan banyakkan selawat kepada Nabi SAW moga kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan seterusnya.

Saya ini sudah 67 tahun umur. Orang tertua di kalangan kita. Katalah 60 tahun dulu saya sudah faham apa erti agama, apa itu kebenaran, setidak-tidaknya sudah dengar. Kalau saudara saudari mungkin 30 atau 40 tahun dulu tetapi saya agak lama. Katalah 7 tahun terbuang begitu saja, kita ambil 60 tahun.

Waktu itu terbayang oleh saya kalau ada orang bekata,

''Dia itu kuat beragama, dia itu baik orangnya, dia itu bagus orangnya'',
apa terbayang oleh saya?

Dia sembahyang, puasa, kalau ada duit mungkin pergi haji, hari jumaat pergi masjid. Sekali-sekala sembahyang jemaah, mungkin sekali sekala kita dengar dia berzikir dan baca Quran. Itulah saya terbayangkan.

Saya tak terfikir waktu itu kalau orang kata polan itu beragama, tak tergambar dia pejuang, berakhlak baik, selalu memperhatikan jirannya, tanya-tanya adakah makanan pada jirannya, kalau tak ada diberinya. Tak terfikir oleh saya, orang itu membayarkan hutang orang, sebab saya tak terfikir itu agama.

Memaafkan, tolong orang. Kalau saya, duduk di kampung tentulah cara kampung, pergi bendang tolong orang buat bendang. Tak terfikir.

Yang terfikir bila dikata beragama sembahyang, puasa, naik haji, pergi masjid sekali sekala sembahyang jemaah. Masa itu tak faham apa erti taqwa.

Itulah gambaran 60 tahun dulu dan sebelumnya sebab Islam sudah rosak 700 tahun dulu. Sejak 700 tahun bila dikatakan orang beragama dia itu perjuang Islam tak adalah. Fikir dan tolong jiran tak ada.

Sekarang nak bahas bila dikatakan agama itu hanya ibadah sahaja. Kalau yang ibadah sahaja sudah betul-betul diagamakan itu dah cukup baik. Sebab, orang masa itu tak terfikir beragama itu ialah berjuang dan berjuang itu di anggap ibadah, itu tak terfikir. Pergi jala ikan dapat ikan bagi jiran itu tak dianggap agama, saya buat contoh sesuai dengan alam saya di Pilin 60 tahun lalu.

Kalau ibadah itu sahaja agama, maka kita lupakan aspek-aspek lain.
Betulkah ibadah itu agama seperti yang dimaksudkan?

Kita anggap, ibadah yang dibuat orang-orang 60 tahun dulu itulah yang dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat sampai dapat syahid. Sahabat-sahabat sampai ke negeri Cina, samakah ibadah yang dibuat sekarang dengan mereka buat ?

Marilah kita kaji.
Betulkah ibadah itu agama ?
Betulkah ibadah itu Islam ?

Ibadah itu apa?
Itu tugas. Bila dikatakan ibadah, ta'abbud. Itu sifat orang. Ada yang lahir dan ada yang batin. Orangnya, hamba. Sebab itu Tuhan katakan

''tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku''.

Rupanya kita beribadah itu sebab kita hamba Tuhan. Hamba Tuhan mesti memperhambakan diri kepada Tuhan. Sebab kita hamba Tuhan



Ibadah Kerana Fadhilat

Biasanya orang yang membuat amal ibadah kerana mengejar fadhilat banyak ibadahnya
Tapi rasa bertuhan sudah tiada
Dari ibadahnya tidak lagi lahir rasa kehambaannya
Dia membuat amal ibadah bukan kerana cinta dengan Tuhan atau takut
Tapi cinta dengan fadhilat atau takut tidak dapat fadhilat
Biasanya golongan ini rasa takut atau cinta dengan Tuhan sudah tiada
Kalaupun banyak amal ibadah tapi tidak berubah perangai
Mazmumahnya sama naik dengan amal ibadahnya
Cintakan dunia sama berlumba dengan ibadahnya
Ibadah pun banyak cinta dunia pun banyak
Amal ibadah pun bertambah cintakan dunia pun bertambah
Golongan yang mengejar fadhilat ini selalunya rasa aman dengan Tuhan
Merasa tenang dengan amal ibadah
Itulah orang yang beramal ibadah derhaka dalam taat
Membuat dosa atau derhaka tapi tidak sedar berlakunya kederhakaan itu
Mereka itu tertipu dengan amal ibadahnya yang banyak
Tapi rasa bertuhan tidak ada
Tapi rasa kehambaan sudah hilang
Sedangkan rasa bertuhan itu adalah wajib
Merasa kehambaan itu adalah diperintah
Beramal ibadah dengan tujuan untuk memperdalamkan rasa bertuhan dan kehambaan
Kalau beramal ibadah sudah tidak rasa bertuhan dan tidak rasa kehambaan
Fungsi dan peranan ibadah itu sudah tersalah
Maka tidak ada nilai lagi di sisi Allah SWT

Ampun maaf

Betulkah Ibadah itu agama? (bhg 2)


....sambungan...

Rasa hamba itu apa?
Rupanya agama itu kita kata Ibadah, itu dari Tuhan. Jadi Tuhan ajar manusia nak hambakan diri kepada Tuhan itu macammana, Tuhan tunjuk jalan supaya nak hambakan diri pada Tuhan.

Buat masing-masing sebab rasa kehambaan itu fitrah (natural instinct). Jadi kalau nak dikembalikan kepada fitrah itu, dia sembah-sembah agak-agak, rasa hamba sudah ada, Tuhan dia sudah yakin. Macam mana nak besarkan Tuhan...

oleh kerana dia tak dapat jalan dari Tuhan dia ikut rasa sendiri. Niatnya baik tapi cara tak baik, ibadah direka-reka. Sebab itu Tuhan faham, bila hamba, Tuhan masukkan ke dalam hati mereka rasa kehambaan itu fitrah, supaya jangan direka-reka, kalau nak sembah Aku begini, begini, begini, begini begini. Jadi bagi orang yang dapat petunjuk dari Tuhan, setidak-tidaknya ibadah lahirnya betul.

Tetapi Tuhan sebenarnya tak nak yang lahir,
yang lahir itu dibuat hanya untuk guide yang dalam.

Tetapi setidak-tidaknya kalau tak dapat yang batin, yang lahir ikut sama ada bacaan, perbuatan sudah betul. Kalau itu yang dikatakan ibadah belum jadi lagi. Itu sebagai satu simbol atau isyarat bagi yang dalam.

Sebab kalau kita buat contoh dengan selain Tuhan, supaya orang itu boleh teringat seseorang atas dasar kehebatannya, peranannya, istimewanya, kena sebut orang itu, bila sebut nampak macam-macam, kalau tak diingatkan tak nampak. Ibadah lahir setakat itu sahaja.

Katalah kita ada raja, takkan setiap hari kita ingat raja, mungkin setahun sekali waktu nak sambut harijadi dia, orangpun sebut, kerajaan sebut, kenapa sebut ?

Bukan atas dasar sebut itu saja !

Itu sebenarnya nak mengingati ada benda lain yang patut dia sedar. Katalah Raja Selangor, menyebut sifat lahirnya supaya dapat teringat padanya, tetapi kalau setakat itu sahaja, tak nampak benda-benda lain, sebab itu perlu ingat dulu, lepas itu baru geledah. Macam kita ingat seorang perempuan, kita hayati, ingat sahaja dia, menggeledah. Matanya nampak, telinganya nampak, senyumnya nampak. Jadi bermula dari teringat itu baru mula menggeledah. Kalau saya tak buat tamsil macam ini mungkin tak senang untuk faham ibadah. Ini contoh.

Kalau begitu, rupanya
nak abdikan diri pada Tuhan,
nak rasakan apa yang ada pada Tuhan,

saya buat misal raja, kalau kita kenal raja setakat dia itu kaya, tinggi orangnya, pemarah orangnya. Had itu sahaja. Bila sebut Raja Selangor, nampak tiga sifatnya Walaupun nampak tiga, sebab tiga benda itu ada padanya. Tapi kalau sebut Raja Selangor tak nampak yang tiga, tak kenal , tak betul. Bila sebut saja nampak yang tiga itu, itu betul.

Jadi kita disuruh ibadah dengan Tuhan untuk menghadirkan diri kepada Tuhan nak merasa apa yang ada pada Tuhan.

Kalau kita beribadah pada Tuhan kita sebut Tuhan ingat Tuhan,
sebut Allah teringat ada Allah. Had itu sahaja dia tak terasa apa yang ada pada Tuhan,
itu bukan ibadah, itu bukan ta'abud.

Jadi ibadah yang dimaksudkan liya'buduun. Seolah-olah Tuhan berkata begini

''tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah pada Aku''

iaitu engkau merasa apa yang ada pada-Ku. Kalau Aku berkuasa engkau terasa Aku berkuasa, kalau Aku itu hebat, engkau terasa Aku hebat, kalau teringat sahaja Aku, Aku itu agung, maka terasa keagungan-Ku, kalau ''Aku menentukan nasib kamu'',
sebut sahaja Tuhan engkau terasa Aku Tuhan yang menentukan nasib engkau. Sebut sahaja nama Aku rasa akan Aku menghidupkan, mematikan, nasib engkau Aku yang tentukan.

Sebut sahaja nama Tuhan, terasa kun fayakun, bila sebut mati ''Mati'', mati. Bila sebut ''Hidup'', hidup. Bila sebut ''Binasa'', binasa. Kalau Tuhan kata ''Gunung runtuh'', runtuh. Bila sebut ''Dunia kiamat'', kiamat. Aku nak engkau rasa itu.

Jadi kalau ibadah, sembahyang, puasa, baca Quran, berwirid, tak terasa apa yang ada pada Tuhan, itu bukan ibadah, rasa kehambaan tak ada, rasa Kuasa Tuhan itu tak ada.

Ampun maaf


Mengenal Tuhan Dengan Hati

Dengan akal sahaja seseorang itu tidak akan kenal Tuhannya
Kekuatan akal hanya sekadar tahu
Yang mengenal itu adalah hati
Lantaran itulah ramai ahli fikir tidak mengenal Tuhan, hanya sekadar tahu
Bahkan ada di kalangan mereka yang tidak percaya wujudnya Tuhan
Hati atau jiwa itulah hakikat diri
Kalau hati atau jiwa tidak mati atau buta
Ia mampu mengenal Tuhan secara hakiki
Bahkan rasa bertuhan sentiasa hidup di dalam jiwa
Rasa itu akan dibawa ke mana-mana
Kerana itulah hati dikatakan raja di dalam diri
Akal hanya sekadar penasihat sahaja
Raja sudah tentulah orang yang paling cerdik
Kerana itulah ia mampu mengenal Tuhannya
Kecuali hati atau jiwa telah mati atau buta
Dibutakan atau dimatikan oleh akalnya sendiri
Makin cerdik akal, makin cepat buta atau mati jiwanya
Jika mengabaikan hati atau jiwa
Akal hanya menyuluh tapi hati atau jiwa menentukan
Akal hanya memberi panduan tapi hati meyakinkan
Kerana itulah semua anggota badan biar berfungsi
Dia akan menguatkan satu sama lain
Jangan hanya akal sahaja berfungsi, hati atau jiwa diabaikan

Menjelang tidur
25.11.99

Betulkah Ibadah itu agama? (bhg 3)


....sambungan...

Bismillahir rahmanir rahim

Kalau begitu yang dimaksudkan ibadah dengan sembahyang sahaja meniti di atas makna untuk membantu meneroka di dalam,

sebab itu bacaan-bacaan dalam ibadah sembahyang itu kena faham, sebab itu membantu meneroka ke dalam. Kalau wirid, zikir, sembahyang, puasa tak faham makna, macam mana nak meniliti lebih dalam lagi.

Kalau begitu apa yang kita nampak selama ini bila dikatakan orang itu baik beragama, sembahyang, baca Quran, baca Yasin, naik haji dah tak sesuai dengan konsep ibadah.

Jadi ibadah yang masih ada pada orang Islam itu yang dimaksud agama jadi sudah bukan agama. Kalau itu jadi ibadah boleh tahan, ertinya asas Islam masih ada. Tapi kalau dikatakan agama itu ibadah sudah tidak jadi ibadah ertinya 700 tahun umat Islam mati tertipu ( ghurur) 3X yang selamat bilangan jari sahaja.

Kenapa?
Ibadah yang dikatakan agama itu pun konsepnya sudah berubah,
peranannya sudah berubah, ibadah tak jadi ibadah,
tak payah dihayati, makna pun tak tahu,

ini ajaib.

Ibadah yang sebenar itu nak rasa hamba,
nak rasa kebesaran yang ada pada Tuhan.
Kalau makna pun tak tahu itu bukan ibadah,
padahal tahu makna itu belum tahu lagi nak hayati.

Tahu makna boleh membantu untuk rasa,
kalau makna yang membantu untuk rasa itupun tak tahu
ertinya ibadah yang dikatakan agama itu tak jadi agama.

Betul tak kalau kita nak rasa nak buat ibadah 30 atau 40 tahun dulu, tak tahu makna tak apa yang penting hafal dulu. Kedua lebih-lebih lagi nak rasa kita beribadah apa yang ada pada Tuhan, kalau Tuhan itu hebat itu lagi tak ada. Kalau wirid zikir lagilah, sembahyang yang penting pun tak dicerita konsep sebenar yang lain lagi kecil.

Rupanya umat Islam yang masih beribadah kepada Tuhan pun masih tidak jadi ibadah.

Apa yang kita dengar bila ibadah kita nak minta sesuatu dari Tuhan. Tak terfikir aku beribadah Tuhan nak minta sesuatu dari aku. Kita faham sembahyang nak pahala, itu bukan ta'abud. Bila kita puasa minta fadhilat dari Tuhan.

Padahal kita beribadah, Tuhan nak sesuatu dari kita.
Konsep ibadah pun dah terseleweng.

Seolah Tuhan berkata begini
'' engkau sembahyang sembah Aku, Aku nak tagih janji engkau takut dengan Aku''.

Ini tak kita tagih fadhilat dari Tuhan, itu hak Tuhan mengapa nak tagih hak Tuhan padahal Tuhan nak dari kita sudahkah kita tunaikan ?

Saya buat contoh:
Katalah di kampung kita ada orang kaya, pemurah ataupun ada raja pemurah, orang besar yang pemurah setiap tahun atau setiap bulan dia beri hadiah. Dia beri itu ada syarat, orang kampung pun pergi nak ambil. Dia punya syarat siapa yang dapat buat begian-begian aku akan beri hadiah. Ada syarat. Orang kampung itu nak hadiah mesti tunaikan syarat. Kita nak hadiah kenapa tak tunaikan syarat? mengapa?

Jangan fikirkan hadiah, tapi fikirkan syaratnya.

Begitu juga Tuhan, nak dapat fadhilat bila kita dapat tunaikan syarat-syaratnya. Dengan kata lain Allah berkata,

'' Aku akan beri hadiah kepada kamu bilamana kamu bertaqwa atau tidak. Dari sembahyang dan ibadah, kamu jadi orang bertaqwa atau tidak?

Ada tuntutan Tuhan dari kita dahulu baru dapat. Kita nak dapat dari Tuhan kena fikir dari kita apa?

Begitu juga puasa di bulan Ramadhan bila dapat ditunaikan tuntutan kepada Tuhan, baru dapat hadiah. Dengan kata lain segala fadhilat Ramadhan, sembahyang, puasa, baca Quran, wirid zikir kalau bertaqwa atau tidak,

kalau bertaqwa jangan susah hati otomatik dapat.
Soalannya kamu bertaqwa atau tidak, kalau tak taqwa fadhilat pun tak dapat.
Pernahkah kita diajar begitu sebelum ini ? Selama ini kita belajar kalau buat ini dapat ini. Pernahkah kita diajar bila buat ibadah ini perasaannya begini, bila buat ibadah ini perasaannya begini.

Perasaan itulah taqwa, itulah ibadah, itulah rasa kehambaan, itulah rasa bertuhan.

Kalau rasa-rasa itu tak ada, fadhilat-fadhilat itu apa ertinya. Tak ada erti apa-apa. Macam seorang raja, lebih-lebih lagi raja sombong dengan kebesarannya, kalau rakyatnya berhadapan dengan dia, apa yang dia suka?

Kalau seorang datang dengan rasa takut raja suka.Kalau seorang datang dengan cekak pinggang kena halau. Buat kurang ajar depan raja. Begitu juga depan Tuhan, Raja segala raja lebih-lebih lagi.

Setelah kita bahas ibadah yang dikatakan agama itu, siapa beribadah dengan baik rupanya tak jadi ibadah. Pergi haji tak jadi ibadah, buat umrah tak jadi ibadah, tertipulah kita selama 700 tahun.

Jadi ibadah itu yang Tuhan mahu rasanya sesuai dengan kebesaran Tuhan apa yang ada pada Tuhan. Apa yang ada dia kena rasa, kalau Tuhan besar kena rasa kebesaran Tuhan. Kalau Tuhan beri rezeki terasa Tuhan beri rezeki, bila sihat terasa Tuhan yang beri sihat bukan doktor.

Nampaknya ibadah yang bersifat agama pun tak jadi ibadah. Kalau selama ini orang yang beribadah dianggap orang baik rupanya tak baik, orang jahat. Orang macam itu berjuta-juta mati sebenarnya dia orang jahat, beribadah tapi tidak beribadah (sebenar)
Ibadah itu biarlah buatnya sedikit tetapi terasa, biar sedikit tetapi menghayati.

Ampun maaf



Baikilah Ibadah

Bersungguh-sungguhlah beramal ibadah
Laksanakan secara istiqamah setiap masa
Kemudian koreksilah ibadah di mana kekurangannya
Kemudian lupakan sahaja

Bersungguh-sungguhlah meninggalkan dosa
Muhasabahlah diri setiap masa tentang dosa
Kemudian rasakan diri kita berdosa
Begitulah sifat seorang hamba

Pandang kecillah dengan ibadah kita
Kerana masuk ke Syurga itu dengan rahmat-Nya
Pandang besarlah dengan dosa kita
Agar kita takut membuatnya
Dan masuk ke Neraka dengan keadilan-Nya

Panjatkanlah doa selalu kepada-Nya
Pintalah taufiq dan hidayah dari-Nya
Kerana itulah jalan kepada-Nya
Kita hamba, haraplah selalu kepada-Nya
Dan baik sangka kepada-Nya

Nukilan:Ust Hj Ashaari Muhammad
19.11.98
Selepas Subuh

Ahad, 4 Disember 2011

Menjadikan Pekerjaan sebagai Ibadah



Di dalam masyarakat, termasuk di kalangan ulama-ulama & mubaligh-mubalighnya, sepertinya sudah mendarah daging sebuah pernyataan yaitu:

"Kejarlah akhirat tapi jangan lupa dengan dunia. Fifty-fiftylah, 50% untuk dunia, 50% untuk akhirat".

Pada mereka yang berfahaman fifty-fifty ini hanya dengan melaksanakan sholat, haji, puasa , doa, baca Al Quran itu saja yang dikiranya amalan akhirat.

Sedangkan bila bertani, berkebun, berternak, menjadi pejabat, pekerja pabrik, memimpin masyarakat, sekolah, dll, dianggap sebagai amalan dunia. Dengan demikian amalan dunia itu tidak perlu lagi diselaraskan dengan ajaran Islam. Seolah-olah amalan dunia dan amalan akhirat itu terpisah. Perkara dunia sendiri, perkara akhirat sendiri.

Kekeliruan ini perlu dibetulkan. Mari bersama-sama kita kaji ketidakbenaran dalam memberikan pengertian dunia dan akhirat. sebelum itu, mari kita lihat pengertiannya yang sebenarnya satu persatu.

Apa itu dunia?
Dunia yang dimaksudkan di sini adalah sesuatu yang dibuat atau dikerjakan yang tidak mendatangkan pahala di akhirat atau tidak mendapat keredhaan ALLAH SWT.

Apa itu akhirat?
Akhirat adalah sesuatu perkara yang dibuat atau yang dikerjakan sehingga kita mendapat pahala dan ganjaran atau mendapat keredhaan ALLAH SWT. Amalan atau pekerjaan akan menjadi amalan akhirat bila mengikuti lima syarat berikut:

1. Niatnya betul.
2. Perkara yang hendak dilakukan tidak melanggar syariat
3. Pelaksanaan mengikuti syariat.
4. Hasilnya tidak digunakan untuk hal yang melanggar syariat.
5. Tidak meninggalkan ibadah asas dalam ajaran Islam ( Shalat, Puasa, Zakat).

Tegasnya, sesuatu perkara atau pekerjaan yang kita laksanakan akan jadi amalan akhirat (diberi pahala) bila memenuhi lima syarat tadi. Jika sebaliknya, jadilah amalan itu sebagai amalan dunia. Artinya tidak mendapat keredhaan ALLAH SWT (ia tidak dapat pahala). Bahkan adakalanya amalan tersebut bisa membawa kepada dosa.

Sekarang kita lihat bagaimana kegiatan menuntut ilmu yang kita jalani bisa menjadi sebuah ibadah kepada ALLAH dan menjadi amalan akhirat.

1. Niatnya betul
Niat yang benar di dalam menuntut ilmu adalah untuk merasakan kebesaran Tuhan. Boleh juga berniat untuk melepaskan diri dari kebodohan atau menuntut ilmu fardhu kifayah sehingga dapat menyelesaikan masalah umat Islam dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, dan seni budaya. Jangan belajar karena menginginkan gaji, nama atau pangkat, untuk bermegah-megah dan ingin masyhur. Ketika diniatkan besok kalau lulus bisa kerja di perusahaan multi nasional dan bisa dapat gaji, maka kuliah selama 4 tahun (kalau lancar) hanya akan jadi amalan dunia dan tidak akan berarti apa-apa di akhirat.

2. Ilmu yang dipelajari mesti sah mengikut syariat dan tidak melanggar syariat.
Contohnya: ilmu usuluddin, fiqih, kedokteran, engineering, pertambangan, dan lain-lain. Jangan belajar ilmu yang haram seperti ilmu sihir.

3. Pelaksanaannya mengikuti syariat Islam.
Umpamanya tidak bergaul bebas lelaki perempuan, tidak membuka aurat.

4. Hasil dari belajar
ilmunya digunakan untuk manfaat diri dan masyarakat.Masyarakat jadi cerdik dan tidak bodoh dengan adanya mereka. Baik dengan lahirnya pakar-pakar dalam Ilmu Islam atau ilmu kemahiran seperti insinyur, perawat, dokter, guru, peneliti, dan berbagai spesialisasi lainnya. Dengan demikian, semua ini dapat membantu membangun syiar Islam di semua aspek kehidupan dan Islam akan jadi mulia dengan adanya ahli-ahli ilmu yang bertanggung jawab.

5. Dalam belajar tadi, jangan sampai meninggalkan ibadah-ibadah yang asas
seperti mempelajari ilmu fardhu ain, shalat, dan puasa. Terkadang, karena sibuk belajar dalam kuliah atau mengerjakan tugas, shalat kita lalaikan atau dilaksanakan di akhir waktu. Jika demikian adanya, walaupun 4 syarat terdahulu sudah dapat dilaksanakan tetapi
ketika syarat terakhir ini diabaikan maka belajar kita hanya akan jadi amalan dunia saja.

Begitu juga untuk dunia kerja, berdagang, dan apapun pekerjaan kita; selama 5 syarat tadi terpenuhi, Insya Allah apapun yang kita lakukan akan menjadi amalan akhirat.

Ampun maaf


Biarlah Hidup Mati Kita Kerana Allah

Bukan senang orang yang berkuasa hendak adil,
Tidak menyalahgunakan kuasa ketika berkuasa,
Bukan mudah orang yang kaya hendak pemurah
Kerana harta itu dicintai

Bukan senang orang yang pandai hendak merendah diri,
Kerana kepandaian itu membawa kemegahan,
Mendorong sombong dan meninggi diri,
Bukan senang hendak lahirkan rasa bertimbang rasa,

Kerana manusia itu sifatnya mementingkan diri,
Memikirkan diri sendiri, sayang dengan diri,
Kalau berlaku juga ada beberapa faktor,
Mungkin kerana nama, disayangi, takut tidak dihormati,
takut tidak dipeduli,

Atau takut dibenci atau takut dimusuhi,
Kalau ia berlaku kerana faktor-faktor tadi,
Ini tidak aci, tidak dapat pahala atau Tuhan tidak
meredhai,

Sungguh rugi tidak sampai dibawa mati,
Jika ia terjadi kerana keredhaan Ilahi,
Kerana takutkan Tuhan atau cintakan Rabbul izzati,
Ia diberi pahala, Tuhan redha side effectnya manusia suka,

Oleh itu buatlah kebaikan jangan kerana manusia,
jangan kerana bangsa dan negara,
Biarlah ia dibuat kerana Tuhan pencipta manusia,
Manusia tetap ikut suka,

Kita adalah ciptaan Tuhan,
Biarlah hidup mati kita kerana Tuhan,
Bukan kerana manusia dan negara
Kalau mendapat untung hanya di dunia sahaja

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad
13-05-05
Menjelang Maghrib

Isnin, 14 November 2011

KISAH KELAPA TUA


Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu. Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.

Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya.

Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti. Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar.

Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut. Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya.

Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah,

maka orang pun bertanya:
“Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?”

Orang di dapur hanya menjawab,
“Gulai ikan bawal.”

Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.” “Oh! Sedap ikan bawal ni.” Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Allah SWT. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Allah!



MANUSIA LUAR BIASA

Kalau ada orang caci kita, kita sakit hati
memanglah begitu, bukanlah luar biasa
Jika orang puji kita, hati berbunga memanglah orang mahu begitu
Siapa tidak hendak pujian pada kita

Ada orang sombong dengan kita, kita pun menyombong,
itu memang perkara biasa
Orang lebih dari kita, kita dengki memanglah lumrah berlaku,
tidak mengejutkan kita

Orang bersalah dengan kita, kita berdendam dan bermusuh dengan
mereka, perkara biasalah itu
Waktu kaya, hidup istimewa, sombong pula, memandang orang hina
Memanglah begitulah lumrah berlaku pada manusia

Apabila mendapat bala bencana, jiwa derita, sabar pun tidak ada,
itu perkara biasa
Yang luar biasa apa?
Yang jarang berlaku kepada manusia kecuali orang yang bertqwa

Iaitu berlaku sebaliknya
Orang caci, dia tidak bertindak
Bahkan mendoakan mereka mendapat hidayah pula, ini luar biasa

Apabila orang puji, derita jiwanya ,kerana pujian itu Tuhan yang
empunya, dia tidak laya menerimanya
Ini luar biasa, jarang berlaku pada orang biasa

Jika ada orang sombong dengan dia, dia tidak melayannya,
bahkan melupakannya
Ini susah orang melakukannya

Orang lebih dari kita, kita ikut gembira, ini mana ada

Ada orang buat jahat padanya, dia buat baik kepadanya
Ini malaikat rupa manusia
Ada orang mendapat bala bencana,
dia doakan agar bersabar dan menziarahi orangnya

Mereka yang telah disebutkan tadi ini, orang luar biasa

Jarang sekali manusia dapat melakukannya
Orang itulah wira agama, bangsa dan negara, jarang ada
Orang ini adalah manusia ajaib di dunia

Manusia pelik, gharib, jarang ada
Mungkin setiap 10 juta hanya seorang sahaja
Adanya orang inilah manaka dunia belun dikiamatkan,
rahmat Tuhan masih diberikan kepaada manusia

Wujudnya orang-orang macam inilah di dunia,
masih ada lagi sedikit-sedikit kebaikan
Hal ini adah sangat tersirat, ramai manusia tidak mengetahuinya

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad

Akhlak Yang Sejati


Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Tidak aku diutus melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang luhur.”

Akhlak ialah tingkah laku, budi pekerti, pribadi, gerak-geri dan cara bergaul. Akhlak juga berarti adab dan tata susila. Akhlak ada beberapa peringkat. Ada akhlak kepada Tuhan. Ada akhlak sesama manusia. Ada akhlak terhadap makhluk Tuhan yang lain. Akhlak kita kepada Tuhan antara lain kita yakin dan beriman kepada-Nya. Kita sabar dan redha di atas segala ketentuan-Nya. Kita menyembah dan bertawakal kepada-Nya dan lain-lain lagi.

Akhlak kita sesama manusia ada berbagai bentuk. Kita taat dan patuh pada guru dan ibu ayah kita. Kita cinta dan kasih kepada mereka. Kita rendahkan diri dan hati kita terhadap mereka. Begitu juga akhlak kita terhadap pemimpin. Sesama kawan, kita berlapang dada, saling bantu-membantu, nasihat-menasihati dan berkasih sayang. Kita hormati orang-orang tua dan kita berbelas kasihan kepada kanak-kanak dan orang-orang yang lebih muda dari kita.

Kalau kita memelihara hewan maka kita perlu menyediakan tempatnya, makan dan minum secukupnya. Tidak boleh kita mendera atau menyakiti hewan tanpa sebab, kecuali hewan yang berbahaya, kita diperbolehkan untuk membunuhnya.


Akhlak seseorang itu terbentuk atau terbina disebabkan oleh tiga faktor, yaitu:

– Oleh tabiat semulajadinya.
Begitu lahir, orang itu tabiatnya sudah lemah lembut, peramah, pemurah dan sebagainya.

– Oleh suasana,
lingkungan, tempat dia dibesarkan dan oleh suku atau kaumnya. Kalau adat kaumnya suka dan pandai menerima tetamu maka dia pun jadi begitu.

– Yang ditunjang dan diteraskan oleh iman dan rasa takut serta cinta kepada Tuhan. Inilah akhlak yang sejati.

Akhlak yang bertunjangkan dan berteraskan iman ini tahan diuji dan tahan digugat. Ia kuat mencengkam pribadi dan jiwa seseorang itu karena akhlak seperti ini diperoleh melalui mujahadah dan perjuangan. Akhlak yang dihasilkan dari mujahadah dan yang bertunjangkan iman ini ada pahalanya.

Adapun akhlak yang dihasilkan dari tabiat semula jadi atau dari suasana dan lingkungan adalah lemah dan tidak tahan digugat. Kalau digugat, ia akan terbarai dan musnah. Ia mudah berubah mengikut suasana dan pengaruh luar. Kalau dijemur dia kering, kalau direndam dia basah. Kalau bergaul orang yang malas, dia akan turut malas.

Sering kita lihat orang yang sewaktu remajanya di kampung, lemah lembut, pandai menghormati orang-orang tua dan selalu melaungkan azan di surau dan masjid. Tetapi sesudah dewasa dan bekerja di kota, dia tidak peduli pada orang dan suka menyanyi di disko. Ke masjid sudah tidak pernah lagi.

Ada pula orang yang semasa remajanya liar dan tidak dapat dikawal tetapi berubah menjadi baik walaupun lingkungannya penuh dengan godaan dan pancaroba. Inilah bedanya akhlak yang diperoleh tanpa usaha dan yang diperoleh melalui mujahadah, keinsafan dan keimanan.

Oleh karena itu, tidak cukup kalau kita lihat umat Islam itu berakhlak. Kita wajib membawa umat Islam itu kuat iman serta takut dan cinta kepada Tuhan. Barulah akhlak yang ada pada mereka itu mencengkam dan terpatri di dalam jiwa dan peribadi mereka. Barulah akhlak itu akhlak yang sejati yang menjadi darah daging dan tidak mudah luntur dan berubah dalam suasana apa pun juga.

Dalam senang mereka berakhlak. Dalam susah pun mereka berakhlak. Tidak ada kuasa mereka berakhlak. Bila ada kuasa pun mereka berakhlak. Bila miskin mereka berakhlak. Sudah kaya-raya pun mereka berakhlak. Di khalayak ramai mereka berakhlak, bila bersendiri pun mereka berakhlak. Di Malaysia mereka berakhlak, bila berada di London atau di Moscow pun mereka berakhlak. Karena berakhlak itu bukan mengikuti keadaan, tempat atau musim. Di mana pun dan dalam keadaan apa pun kita wajib berakhlak.

Dengan kekuatan akhlak yang berteraskan iman ini, barulah akan terpancar akhlak Islamiah yang dapat dilihat oleh semua orang. Akhlak itu ibarat bunga. Semua manusia dan bangsa menyukainya. Ia bersifat sejagat. Tidak perlu banyak bicara, akhlak yang murni dan luhur itu adalah satu bentuk dakwah yang sangat berkesan.

Tidak banyak orang kafir memeluk agama Islam karena ilmu Islam itu sendiri atau karena sebab-sebab yang lain. Yang banyak memeluk Islam ialah karena melihat akhlak dan cara hidup umat Islam yang cantik, indah dan murni. Akhlak dan cara hidup umat Islam ialah dakwah yang paling berkesan.

Pada zaman awal Islam ramai kaum musyrik dan Yahudi memeluk Islam hanya karena melihat akhlak Rasulullah SAW yang sangat mulia lagi terpuji. Benci dan buruk sangka orang kafir terhadap Islam dan enggannya mereka memeluk agama Islam banyak disebabkan oleh akhlak umat Islam yang buruk, kasar, ganas, kotor, jahat dan menjijikkan.

Inilah umat Islam yang secara sadar atau tidak sadar, secara sengaja atau tidak sengaja yang mengkhianati agama Islam.


Didikan Tuhan Terhadap Hamba-hambanya

Kerja Tuhan pada kita..
Kadang-kadang ujian kesusahan kepada kita
sangat mendidik dan menjadi pengajaran
Di situlah dia mendapat kesedaran, keinsafan dan kebaikan

Kesedaran dan keinsafan itu lebih besar ertinya
daripada kesusahan dan penderitaan
Kalau orang yang faham kesusahan dan penderitaan itu
tidak menjadi tekanan kepada jiwanya

Adakalanya kesenangan dan kemewahan itu
boleh membawa kelalaian dan kesombongan
Kelalaian dan kesombongan itu bukan lagi kebaikan
Kebaikan yang tidak menjadi kebaikan lagi pada seseorang
Kebaikan yang tidak membawa kebaikan,
itu merosakkan orang

Jadi kesusahan dan penderitaan tidak semestinya membawa kejahatan
Sepertimana kesenangan dan kemewahan tidak mesti membawa kebaikan
Kecuali orang yang benar-benar beriman,
Kesusahan dan kesenangan kedua-duanya membawa kebaikan
Kesenangan membawa keredhaan Tuhan,
kesusahan juga membawa keredhaan Tuhan

Tapi bagi orang yang lemah iman, atau tidak beriman
kedua-dua keadaan itu semuanya membawa kejahatan
Ujian kesusahan pun membawa kejahatan,
ujian kesenangan pun membawa kejahatan

Kedua-dua keadaan itu tidak membawa apa-apa kepada mereka
Bahkan mereka akan jadi perosak,
terutama kalau mereka kaya dan senang

Begitulah didikan Allah Tuhan kita kepada hamba-hamba-Nya
Hasil dan kesan didikan itu tidak sama
Kita tidak tahu dan tidak faham rahsia Tuhan,
di sebalik ujian yang diberi-Nya

Allahyarham Ust. hj Ashaari Muhammad